Dewan Negara Lulus Pemansuhan Dua Undang-Undang

KUALA LUMPUR: Dewan Negara pada Khamis meluluskan usul pemansuhan dua undang-undang yang dianggap sudah lapuk dan tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Rang Undang-undang Kediaman Terhad (Pemansuhan) 2011 yang membawa kepada pemansuhan Akta Kediaman Terhad 1933 dan Rang Undang-undang Buang Negeri (Pemansuhan) 2011 yang memansuhkan Akta Buang Negeri 1959 diluluskan sebulat suara oleh anggota dewan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Liew Vui Keong berkata, keputusan memansuhkan Akta Kediaman Terhad 1933 itu adalah berlandaskan faktor utama iaitu prinsip demokrasi dan keadilan serta faktor kemajuan teknologi maklumat dan urbanisasi.

"Selepas akta ini dimansuhkan, terdapat undang-undang sedia ada yang boleh digunakan dan mencukupi untuk menangani jenayah 'non-violence' yang berada di bawah akta ini," katanya ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu Khamis.

Beliau berkata, pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 yang sudah 34 tahun tidak diguna pakai, dilihat wajar kerana bertindih dengan Akta Imigresen 1959/63 khususnya berkaitan peruntukan penahanan dan pemulangan warganegara asing.

"...langkah pemansuhan ini akan memperkemaskan lagi sistem undang-undang negara," katanya.

Meskipun akta itu dimansuhkan, katanya terdapat mekanisme perundangan lain yang berupaya memenuhi tuntutan di bawah akta terbabit.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url