Hikmah ayat Bismillah
Baginya, dengan cara itu dia mampu meredakan tekanan yang dirasainya demi merealisasi sasaran yang ditetapkan.
“Saya tidak dapat lari daripada perasaan itu apabila menanti lampu hijau menandakan perlumbaan bermula. Pada ketika itu, saya hanya mampu kuatkan semangat dan terus-menerus membaca ayat suci al-Quran,” kata pelumba berusia 17 tahun itu.
Pembabitannya dalam dunia perlumbaan bermula seawal usianya sembilan tahun. Minatnya terlalu mendalam hingga mencuba pelbagai jenis jentera seperti go-kart, motocross dan akhirnya pocket bike.
Pengalaman menunggang pocket bike menjadi titik tolak buat dirinya terbabit secara serius dalam dunia perlumbaan.
“Pada masa itu, saya meminati go-kart tapi kerana kosnya yang terlalu tinggi, saya terpaksa beralih kepada jentera yang lebih murah.
“Saya akhirnya mencuba pocket bike dan kadang-kadang ‘meminjam’ wang ayah tanpa pengetahuannya untuk menyewa jentera itu,” katanya. Percubaan pertama berlumba menggunakan jentera itu tidak sia-sia apabila dia muncul juara di Port Dickson. Selain Hafizh, rakan seangkatan, Md Ramdan Rosli turut menyertai perlumbaan itu.
"Sejak detik itu saya yakin inilah dunia saya.” Dalam kariernya yang singkat, Hafizh sudah membuktikan kewibawaannya apabila muncul juara CP130 dan juara novis Kejuaraan Petronas AAM Cub Prix pada tahun lalu dan 2009.
Tahun ini, dia menumpukan perhatian kepada kategori SuperSport 600cc Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) Petronas dan berjaya menduduki tempat keempat keseluruhan.
Lebih manis, Hafizh berjaya menaiki podium sebanyak empat kali, ketiga di India, naib juara di litar Zhuhai, China dan ketiga dan muncul juara di Litar Antarabangsa Losail, Qatar minggu lalu.
Dia turut menyertai Formula Extreme Australia dan berjaya muncul naib juara meskipun hanya menyertai empat daripada enam perlumbaan.
Baginya penyertaan dalam kejohanan ini meningkatkan lagi ilmunya kerana ia lebih mencabar.
“Setiap sirkit enam perlumbaan dilangsungkan dan setiap pelumba akan beraksi dalam tiga perlumbaan berselang-seli dengan tempoh rehat hanya kira-kira setengah jam.
“Saya banyak belajar bagaimana memperoleh pelarasan jentera terbaik dan aspek teknikal pada kejohanan ini.” Namun, sasaran utama pastinya menyertai secara penuh aksi MotoGP dunia dan demi merealisasikan impiannya itu, Hafizh bakal menumpukan sepenuhnya kepada saingan ARRC pada tahun depan selain menyertai kejohanan di Sepanyol.
- HARIAN METRO