LIMA 2011 bakal catat sejarah
Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2011 (LIMA 2011) yang membuka tirainya pada 6 Disember (Selasa), bakal mencipta sejarah tersendiri apabila menarik penyertaan lebih 386 syarikat, termasuk pengusaha industri pertahanan dari 33 negara sepanjang acara itu berlangsung sehingga 10 Disember ini.
Antara sudah mengesahkan penyertaan termasuk gergasi industri penerbangan dunia, Airbus dan Boeing, Bell Helicopters, Dassault, Gulfstream, Embraer, Eurocopter, Agusta Westland, Sikorsky dan Fincantieri, selain Sukhoi Corporation, antara syarikat pengeluar pesawat tempur termaju di dunia.
Tidak ketinggalan Daewoo Shipbuilding, syarikat pembinaan kapal laut terbesar Korea Selatan yang turut membuka ruang pamerannya sempena penganjuran LIMA edisi ke-11 kali ini, selain Navantia, Damen Shipyard, Blohm dan Voss, Lurssen, Goa Shipyard dan DCNS.
Pengarah Urusan HW Exhibition Sdn Bhd, Ahmad Dzuhri Abdul Wahab, berkata LIMA2011 bukan sekadar program pameran, malah ia sebagai medan pemasaran pelbagai produk terbaik dunia bagi ketiga-tiga industri – aeroangkasa, maritim dan pertahanan, sekali gus membina jenama serta meningkatkan peluang pelaburan di kalangan peserta.
Katanya, keseluruhan ruang pameran dan ruang komersial disediakan di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC), Langkawi sudah habis ditempah, sekali gus membuktikan penganjuran acara dwi-tahunan itu masih mampu menarik penyertaan dari seluruh dunia.
Beliau berkara, ini jelas menunjukkan LIMA masih relevan dengan perkembangan semasa, khusus dalam memangkin perkembangan industri aeroangkasa, maritim dan pertahanan negara.
“LIMA 2011 juga diyakini mampu menandingi LIMA2009 yang berjaya menarik hampir 400 syarikat pertahanan membabitkan 60 negara, 38,000 pelawat, 400 wartawan seluruh dunia dan 210 delegasi industri pertahanan antarabangsa,” katanya kepada pemberita, di sini semalam.
Di LANGKAWI, segala persiapan menjelang acara berkenaan berjalan lancar, dengan 64 pesawat dan 12 kapal perang, termasuk dari luar negara sudah ditempatkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dan Jeti Awana Porto Malai. Baki 10 pesawat lagi dijadual tiba menjelang pameran itu berakhir.
Malaysia sebagai negara hos mempamerkan keseluruhannya 30 pesawat termasuk pesawat pemintas termoden dimilikinya, Sukhoi SU-30MKM bersama MiG-29N Fulcrum, F/A-18D Hornet dan Hawks 108/208. Turut dipamerkan model Fennec, Agusta A109, AW139, Dauphin, CL-415, MI-17, Mi-171 serta Super Lynx.
LIMA2011 yang dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pertahanan dan Kementerian Pengangkutan, selain mendapat sokongan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dijangka menerima 25,000 pelawat perdagangan, sekali gus menjana pulangan RM150 juta kepada negara.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijadual merasmikan pameran dwi tahunan itu kira-kira jam 9.30 pagi Selasa, sebelum disusuli pertunjukan Pasukan Aerobatik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Keris Sakti yang juga sebahagian daripada tarikan utama acara berkenaan.
- BERITA HARIAN