Menara jam akan dibina di Dataran Merdeka tahun 2012
Menara jam tersebut yang menggunakan konsep reka bentuk hasil cetusan idea pemenang dalam Pertandingan Rekacipta Countdown Clock 2020 akan mula dibina pada tahun depan.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, lokasi tersebut dipilih kerana ia memenuhi tiga kriteria penting bagi memastikan struktur tersebut menjadi tarikan orang ramai.
Katanya, tiga kriteria itu ialah visibility (dapat dilihat dengan jelas), accessibility (kemudahsampaian yang tinggi) dan tourist/visitor spot (tumpuan orang ramai).
"Pembinaan struktur ini selaras dengan inisiatif kerajaan di bawah Projek-projek Permulaan (EPP) ketujuh iaitu mewujudkan tempat dan tarikan ikonik di bawah Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) melalui sistem Greater Kuala Lumpur-Klang Valley.
"Di bawah EPP ini, Kuala Lumpur disasarkan menjadi sebuah bandar raya global dan pusat warisan dengan mentransformasikan tarikan sedia ada dan membina tarikan baru," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam Pengumuman Para Pemenang Pertandingan Rekacipta Countdown Clock 2020 di sini, semalam.
Pada majlis tersebut, syarikat perkongsian Ngiom yang bekerjasama dengan syarikat Octagon Creative berjaya mendapat tempat pertama dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM75,000.
Difahamkan, menara jam berkenaan direkabentuk berdasarkan konsep interaktif di mana terdapat air mengalir di dinding bangunan itu dan orang ramai boleh menikmati suasana di dalamnya. Ia akan dibina oleh arkitek sama yang memenangi pertandingan tersebut.
Tambah Raja Nong Chik, pihaknya akan memastikan struktur tersebut menjadi kenyataan dan dapat dilaksanakan pada Februari depan.
"Pembangunan menara itu akan bermula dengan majlis pecah tanah oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangkakan sempena Hari Wilayah Persekutuan 2012," katanya.
- UTUSAN
Wan nasirah binti wramli
Saya berminat menjadi angota jpj
Wan_nasirah@yahoo.com