RM2.7 Juta Untuk 250 Pelajar Sertai Program Perintis HEIGIP

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM2.7 juta bagi membolehkan seramai 250 pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) menyertai projek perintis Program Latihan Graduan Industri Tinggi (HEIGIP) bagi melahirkan sumber tenaga manusia berkualiti dan menepati kehendak industri.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, melalui program ini pelajar akan diberikan latihan intensif pada setiap cuti semester bermula semester kedua pengajian.

Ini berbeza dengan amalan biasa di mana latihan praktikal hanya disediakan kepada mahasiswa yang berada di tahun akhir pengajian untuk tempoh yang singkat, katanya pada pelancaran program itu di sini, Selasa.

Beliau berkata, syarikat-syarikat yang terlibat dalam program itu adalah industri berteknologi tinggi dan sehingga kini 25 organisasi termasuk Talent Corporation, Lembaga Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) dan Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar bersetuju menyertai perkongsian pintar itu. "Hasil latihan, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program, akan dapat melatih mahasiswa menjadi kumpulan bakat-bakat yang berkualiti dan berkemahiran tinggi dalam industri termaju, meningkatkan lagi sumbangan tenaga mahir bagi membantu Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan menjadi pemangkin kepadaperkembangan teknologi terkehadapan.

"Lebih penting, ia dapat mengurangkan kebergantungan kita kepada tenaga mahir asing, sebaliknya menggunakan kepakaran tempatan secara optimum. Pada masa yang sama, konsep padan dan tingkat ditekankan dalam program ini agar dapat mengelakkan berlakunya pengaliran keluar graduan bijak apabila mereka yang dilatih akan terus bekerja dengan industri-industri yang memajukan mereka," katanya.

Kemudian pada sidang berita, Mohamed Khaled berkata permohonan untuk program itu telah dibuka sejak September lalu di mana Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebagai sekretriat program tersebut menerima kira-kira 500 permohonan dari 10 IPTA dan pemilihan sedang dijalankan bagi menentukan pelajar yang layak mengikut syarat-syarat yang ditetapkan.

Beliau berkata, antara syarat tersebut termasuklah mempunyai Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.0 ke atas serta mempunyai ketahanan fizikal dan mentaldan pelajar terpilih akan memulakan sesi latihan tersebut mulai Januari depan.

Katanya, elaun sebanyak RM900 sebulan akan diberikan kepada seorang pelajar sepanjang tempoh program itu manakala pihak industri turut menampung kos latihan serta penempatan pelajar di industri masing-masing.

"Kita akan lihat sejauh mana program perintis ini akan berjaya dan kita akanteruskannya di masa-masa akan datang. Kita mulakan dengan IPTA dan suatu masa nanti jika ada peruntukan lebih besar dan lebih banyak syarikat menyertai program ini, tiada sebab kita tak buka kepada sesiapa," kata Khaled.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url