Semakan dasar pendidikan

TAN SRI DR. NORDIN KARDI
Penyandang Kursi Za'ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris

PENGUMUMAN oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini tentang penubuhan jawatankuasa menyemak semula dasar dan pelaksanaan pendidikan di negara ini seharusnya mengusik deria semua pihak dari orang tua hingga kanak-kanak yang sudah pandai membezakan perkara buruk dan perkara baik.

Hal ini sewajarnya demikian kerana pendidikan adalah segala-galanya bagi negara Malaysia yang aman dan makmur ini. Rekod menunjukkan bahawa pembangunan pendidikan adalah sektor kemajuan negara terbaik. Meski banyak melalui gelombang cabaran, data-data memihak kepada kenyataan bahawa sektor pendidikan berjaya cemerlang mengatasi segala pukulan gelombang tersebut berbanding upaya-upaya negara dalam sektor lain.

Pengumuman bahawa Prof. Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia yang sangat berpengalaman itu mempengerusikan jawatankuasa yang dimaksudkan sangat dialu-alukan. Saya yakin beliau akan memimpin jawatankuasa itu dengan pendekatan saintifik yang tepat bukan berpandukan semangat sahaja yang berkobar-kobar tetapi berada di awang-awangan atau atas pertimbangan tahyul-tahyul politik yang kerap membingungkan.

Sudah tentu aspek politik tidak boleh dikesampingkan kerana ia juga sebahagian daripada urat nadi kesejahteraan negara, namun semua pertimbangan politik itu hendaklah dianalisis secara saintifik berpandukan data konkrit bukan dengan buaian lagu sentimental.

Sebagai seorang yang terlatih dalam bidang farmasi, Dzulkifli hendaklah menyuntik dirinya dengan ubat pelali daripada dijangkiti wabak sentimental itu. Dia hendaklah tidak melayan jelingan menikam atau suara keras anggota jawatankuasa itu nanti, tapi dengar apa isi dan maksud suaranya yang nyata dan yang tersembunyi.

Sambil mempertimbangkan praktikaliti suasana semasa Dzulkifli hendaklah tidak membelakangi dasar-dasar yang lepas sambil tidak pula taksub mempertahankannya. Untuk tujuan itu wajiblah dia meneliti dua akta penting terdahulu iaitu Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Jarak masa 35 tahun diambil bagi melaksanakan Akta Pelajaran 1961 sebelum dianya disemak berbanding Akta 1996 yang belum mencapai usia baligh 15 tahun.

Beliau hendaklah mula bermenung bermuhasabah mengapa dasar yang baharu berusia empat belas tahun itu hendak disemak?

Jawapan seperti 'dunia telah berubah dengan pantas' mungkin jawapan yang sangat memujuk dan munasabah, namun beliau hendaklah tidak terus tergoda dengan jawapan mudah, sebaliknya berpegang teguh kepada prinsip saintifik bahawa kebenaran hendaklah diselongkar dari segenap penjuru. Setelah ditemui dengan nyata dan yakin potonglah tumor, kudis atau lebihan lemak yang tidak menyihatkan tetapi jangan abaikan intan permata yang ada di dalamnya yang boleh digilap sampai berkilau.

Selain itu, Dzulkifli juga hendaklah meneliti Penyata Razak 1957 dan Ordinan Pelajaran 1957 yang merupakan hembusan roh pertama dunia pendidikan Malaysia merdeka. Akta-akta lain yang mesti diteliti juga termasuk Akta Bahasa Kebangsaan 1964, 1967 dan semakan 1971.

Demikian juga Akta Universiti dan Universiti Kolej 1975 dan semakannya 1975 dan 1996; Akta Politeknik 1974, Akta Majlis Peperiksaan 1980, Akta IPTS 555, 1996 dan Akta 556 LAN 1997.

Sudah tentu Dzulkifli juga akan dengan teliti membaca semula laporan-laporan negara mengenai pelajaran atau pendidikan yang terdahulu seperti Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Mengenai Pengajian Tinggi 1967 dan Laporan Universiti Malaya selepas 13 Mei 1970 dan Laporan Mahathir 1979.

Jawatankuasa yang akan bermesyuarat itu nanti akan menghadapi pelbagai cabaran yang memerlukan keberanian mengusik beberapa perkara sensitif dan sentimental tetapi amat penting untuk diteliti dalam konteks Malaysia menjadi negara bangsa dalam millenium 21 yang memerlukan kekuatan dan kepantasan luar biasa.

Malaysia, yang mempunyai tiga kategori institusi pendidikan seperti Seksyen 16 Akta Pendidikan 1996 iaitu institusi pendidikan kerajaan; institusi pendidikan bantuan kerajaan dan; institusi pendidikan swasta, mungkin boleh diibaratkan seperti sebuah kenderaan yang mempunyai beban berat dan mengganggu sistem mekanikal yang saling bercanggah untuk terbang seperti kilat di angkasa lepas. Beranikah Dzulkifli mengusiknya?

Beranikah juga nanti jawatankuasa itu menyentuh Seksyen 2 Akta Pelajaran 1996 yang antara lain di dalamnya terkandung kedudukan sekolah Cina dan sekolah Tamil, demi menjayakan hasrat melahirkan kesatuan negara Malaysia?

Dasar terbuka pentadbiran awam yang diumumkan kerajaan baru-baru ini mudah-mudahan akan disentuh juga oleh jawatan kuasa ini nanti. Akta Pendidikan 1996 nampaknya seperti mundur dalam konteks pelantikan meskipun tidak ramai orang mengetahuinya.

Akta Pelajaran 1961 misalnya membiarkan secara terbuka sesiapa sahaja boleh dilantik untuk menjadi Ketua Pengarah Pelajaran tetapi Akta 1996 menyebut dengan terang bahawa Ketua Pengarah Pendidikan boleh dilantik daripada kalangan penjawat Perkhidmatan Pelajaran sahaja.

Pemikiran Tan Sri Mohd. Sidek Hassan, Ketua Setiausaha Negara (KSN) yang membawa gagasan perkhidmatan awam terbuka harus disokong dan dilihat sebagai langkah berani dan kehadapan demi kecemerlangan kepimpinan pendidikan juga. Akta Pelajaran 1961 menyamai hasrat KSN menjadikan Jawatan Utama di Kementerian-Kementerian sebagai Jawatan Terbuka yang baru-baru ini diumumkan.

Demikian juga kuasa melantik yang saya sering timbulkan dalam beberapa tulisan terdahulu tentang bagaimana berpindahnya beberapa kuasa daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada orang politik/eksekutif iaitu Menteri. Akta Pelajaran 1961 menyebut kuasa Yang di-Pertuan Agong melantik Ketua Pengarah Pelajaran, Ketua Pendaftar Sekolah, Ketua Pendaftar Guru, Timbalan Pendaftar Guru, Ketua Nazir Sekolah dan Pengelola Peperiksaan.

Adakah bijaksana sekiranya kuasa Yang di-Pertuan Agong membuat pelantikan itu dikembalikan, terpulang sepenuhnya kepada kebijaksanaan jawatankuasa itu nanti menelitinya semula. Demikian juga dengan pelantikan naib canselor yang dahulunya di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agong dengan nasihat Perdana Menteri yang kemudian dipindahkan kepada kuasa Menteri dalam Akta Pendidikan 1996. Tidak ramai ahli masyarakat sekolah dan universiti yang menyedari akan perpindahan kuasa-kuasa ini pada 1996.

Pengalaman Dzulkifli dalam Persatuan Institusi Pengajian Tinggi Asia Tenggara (ASAIHL) dan di Persatuan Antara Bangsa Universiti-universiti yang berpusat di Eropah dan Amerika Selatan yang pernah saya turut sertai tentu mempunyai pengaruh semasa dia mempengerusikan siri perbincangan itu nanti.

Namun amat munasabah sekiranya beliau sentiasa beringat untuk mempunyai 'nyiru tempatan' untuk menapis dan mengayak 'antah-antah' yang mungkin tidak sesuai dengan saripati keperluan dan peradaban Malaysia yang tidak sepatutnya merasa rendah diri dengan peradaban dari dunia Eropah.

Pengalaman beliau di dalam dua badan itu akan memberikan keupayaan melihat Malaysia dengan keunikannya tertentu, kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks wilayah Asia Tenggara dan kedudukan pendidikan Malaysia dalam konteks dunia. Dalam konteks pengajian tinggi Dzulkifli tentu sangat fasih dengan kandungan Proses Bologna dana Triti Lisbon di Kesatuan Eropah.

Saya jangka antara variabel yang akan diteliti oleh Dzulkifli dan rakan-rakannya nanti akan meliputi soal falsafah dan dasar pendidikan, sistemnya, pentadbiran, kepimpinan, isi kandungan, penilaian dan pengukuran pencapaian, guru, murid, alam keliling fizikal dan bukan fizikal dan antisipasi senario masa depan.

Apa pun yang bakal dihasil dan dilapor oleh jawatankuasa ini nanti, saya menantikan sebuah laporan dan cadangan yang dibuat berdasarkan pemikiran yang bebas, waras dan saintifik.

Unsur-unsur sentimental dan tahyul hendaklah diminimumkan. Meski pun demikian laporan itu hendaklah bertapak kukuh di atas asas peradaban Malaysia dengan segala kebanggaan terhadap khazanah-khazanah sejarah dan ilmunya serta keberanian belayar di lautan luas masa depan.

Kesudahannya biarlah cadangan-cadangannya nanti jelas mempunyai semangat 'di mana bumi di pihak di situ langit dijunjung'.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url