Ally Iskandar dan Farah Lee selamat diijab kabul
KUALA TERENGGANU 20 Jan. - Setelah dihimpit pelbagai kontroversi termasuk isu putus tunang, pengacara popular TV3, Ally Iskandar Mardzi, 36, selamat diijabkabulkan dengan gadis pilihannya, Farah Lee atau nama sebenarnya, Nurfarahin Romli, 23, kira-kira pukul 10 pagi di Masjid Kristal di sini.
Disaksikan lebih 500 hadirin terdiri daripada keluarga, rakan-rakan dan peminat, Ally sah menjadi suami kepada Farah setelah dua kali lafaz di hadapan juru nikah, Mohamad Abu Bakar, dengan mas kahwin berjumlah RM250.
Ally ketika ditemui pemberita berkata, dia bersyukur kerana majlis itu berjalan lancar seperti dirancang.
"Saya lega kerana semua berakhir dengan selamat. Insya-Allah, lepas ini saya mengikut Farah ke Korea Selatan selama enam hari memandangkan dia pulang ke sana bagi menyambung pengajiannya," katanya.
Ditanya mengenai ciri-ciri yang dimiliki gadis itu hingga dia membuat keputusan untuk melamar meskipun hanya berkenalan dalam masa singkat, Ally menjelaskan ia berlaku tanpa dirancang.
"Saya dapat tahu daripada adik Farah ketika itu sedang mencari-cari calon untuk dijadikan suami. Jadi, saya memberanikan diri untuk mendekatinya dan meluahkan hasrat hati saya.
"Lagipun, Farah memang menepati ciri-ciri yang saya mahu. Dia seorang tegas pendirian dan saya difahamkan, dia juga pandai masak," katanya.
Dalam pada itu, Farah yang merupakan pelajar tahun akhir, Ijazah Kejuruteraan Mekanikal, Universiti Incheon, Korea Selatan berharap ikatan perkahwinan mereka berkekalan hingga ke akhir hayat.
"Insya-Allah, saya sudah bersedia. Saya juga tak rasa perbezaan umur di antara kami akan menjadi penghalang," ujarnya yang berasal dari Kampung Atas Tol di sini.
Pada majlis itu, keluarga Farah menyerahkan sembilan dulang hantaran termasuk satu set persalinan lelaki, telefon bimbit I-Phone 4S dan tafsir al-Quran manakala keluarga Ally membalasnya dengan tujuh dulang termasuk komputer riba jenis Apple, replika kunci rumah dan satu set coklat.
Majlis resepsi pasangan itu dijangka diadakan di Kelab Golf Kuala Terengganu (KTGR) pada 5 Februari depan.
- UTUSAN
moga berbahagia hendaknya...amiinnn