Chong Wei Juara Terbuka Malaysia Kali Kelapan


Jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei menewaskan pemain Jepun, Kenichi Tago 21-6, 21-13 pada perlawanan final kejohanan Maybank Terbuka Malaysia 2012 di Stadium Putra Bukit Jalil, Ahad.

Chong Wei hanya mengambil masa selama 36 minit untuk menundukkan Tago yang menempah laluan ke final selepas pemain China, Chen Jin menarik diri pada pusingan separuh akhir, Sabtu.

Ia merupakan kemenangan kelapan pemain No.1 dunia itu di gelanggang sendiri.

Beliau yang menyifatkan perlawanan itu sebagai perlawanan akhir Terbuka Malaysia paling mudah buatnya, berharap dapat mengekalkan semangat dan prestasinya kali ini sehingga Sukan Olimpik London pada Julai ini.

Katanya, beliau juga gembira dapat menumpaskan dua musuh utama dari China iaitu Lin Dan (pada akhir Terbuka Korea minggu lalu) dan Chen Long (ketika peringkat separuh akhir kejohanan) pada awal tahun ini.

"Bagaimanapun, saya tidak menolak kemungkinan China akan bersedia dengan strategi yang lebih kuat pada Olimpik nanti.

"Buat masa ini saya gembira dapat kalahkan mereka, namun saya juga akan buat persediaan yang lebih bagus," katanya kepada media selepas upacara penyampaian hadiah yang disempurnakan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Chong Wei menerima piala dan wang tunai bernilai US$30,000 (RM93,990).

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Selepas ini, Chong Wei berkata beliau akan menumpukan pada dua kejohanan iaitu pusingan kelayakan Piala Thomas dan All-England sebelum menghadapi temasya Sukan Olimpik.

"Saya akan kurangkan kejohanan tahun ini supaya boleh memberi tumpuan pada persediaan Olimpik," katanya.

Sementara itu, Wang Yihan dari China menjuarai perseorangan wanita setelah mengalahkan rakan senegara Wang Xin 21-19, 21-11. Pemain China turut mendominasi kategori beregu campuran apabila Zhang Nan/Zhao Yunlei dari republik itu muncul johan setelah menumpaskan rakan sepasukan Xu Chen/Ma Jin 21-12, 21-9.

Dalam perlawanan sengit beregu lelaki pula, kemenangan akhirnya berpihak kepada beregu Taiwan Fang Chieh Min/Lee Sheng Mu, yang mengatasi Cho Gun Woo/Shin Baek Choel dari Korea Selatan 16-21, 21-16, 21-16.

Selain itu, beregu wanita Denmark Christina Pedersen/Kamilla Rytter Juhl melakukan kejutan apabila menundukkan pilihan kedua Ha Jung Eun/Kim Min Jung dari Korea Selatan 21-19, 21-18 untuk menjuarai kategori itu.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url