Contohi penekanan sains sekolah Cina
Oleh NURUL ANUAR KARI
PERATUSAN pelajar mengambil jurusan Sains dikatakan turun mendadak sejak 2007 dan kini dianggap amat kritikal di samping memperlahankan sasaran untuk Pelan Hala Tuju Modal Insan Sains dan Teknologi 2020.
Pelan hala tuju tersebut menyasarkan 60 peratus pelajar mengambil aliran sains sementara selebihnya aliran sastera.
Namun, di setiap peringkat pilihan sama ada peperiksaan utama di sekolah, matrikulasi mahupun di universiti, rata-rata pelajar lebih cenderung memilih subjek yang 'lebih mudah' berbanding aliran sains.
Ditambah pula dengan klasifikasi pelajar aliran sains yang 'sama rata' dengan pelajar bidang lain, tidak menggambarkan mereka mengikuti subjek kritikal sedangkan mata pelajarannya jauh lebih sukar dan hanya boleh diikuti pelajar tertentu.
Akhirnya, pelajar yang mengambil 'subjek mudah' mencatatkan Nilai Purata Gred Kumulatif (CGPA) tertinggi, menerima pelbagai anugerah dan juga biasiswa pendidikan.
Tidak cukup di situ, persimpangan selepas meninggalkan universiti juga kehilangan sebilangan graduan sains kepada kerjaya bidang lain akibat beberapa faktor termasuk kerja yang bahaya, waktu kerja, gaji dan birokrasi.
Hakikatnya, aliran sains bukan sahaja kelihatan lebih sukar, tidak menarik dan sudah hilang keistimewaan berbanding aliran lain, malahan kebanyakan kerjaya sains sedia ada tidak menawarkan kelebihan yang sepadan, sama ada dalam sektor awam mahupun swasta.
Bermula dari dalam rumah, di sekolah, universiti dan akhirnya kerjaya sains, masyarakat negara ini secara umumnya tidak meletakkan aliran sains sebagai satu bidang menarik, mungkin kerana gambaran serong bahawa kerjaya lain seperti kewangan, perniagaan mahupun sebagai artis hiburan lebih berbaloi untuk anak-anak mereka.
Tanpa penerapan jiwa sains, motivasi serta galakan terhadap minat anak-anak kecil terhadap kepelbagaian ilmu sains, mereka juga akan membesar dengan perspektif bahawa kerjaya sains tidak berbaloi dengan kesukaran bertahun-tahun mempelajarinya.
Pihak berwajib kini bukan sahaja berhadapan dengan masalah minat murid untuk belajar dalam bidang sains malahan pilihan untuk menceburi kerjaya sains yang kritikal untuk negara.
Tokoh pendidikan, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom tidak dapat menjelaskan kenapa kemerosotan itu berlaku tetapi berharap satu kajian mendalam dapat dijalankan segera bagi mengenal pasti puncanya.
Namun, beliau menekankan langkah mengatasinya perlu digerakkan segera bagi memastikan aliran sains menjadi pilihan utama murid dalam jangka panjang.
"Penyelesaian masalah ini banyak bergantung kepada guru dan ibu bapa yang perlu memberi penekanan subjek sains menawarkan masa depan yang lebih baik kepada anak-anak.
"Kaunselor sekolah juga perlu menunjukkan jalan ke arah peluang yang terbuka di universiti dalam pelbagai bidang sains di samping biasiswa dan bantuan yang khusus untuk subjek kritikal," katanya.
Jelas beliau, pihak universiti hanya mengambil pelajar yang memenuhi syarat untuk kursus yang ditawarkan, maka semuanya bermula di sekolah dalam menekankan aliran sains jika murid mahukan masa depan dalam kursus berkaitan.
"Ada juga yang kata pelajar aliran lain juga boleh ambil kursus sains di universiti tetapi bilangannya kecil. Adalah lebih mudah jika murid aliran sains yang ditawarkan peluang itu.
"Oleh itu, sekolah dan ibu bapa perlu mainkan peranan dalam mendorong anak-anak memilih aliran sains seterusnya ke arah kerjaya kritikal dan profesional yang lebih diperlukan pasaran kelak," ujarnya.
Tokoh akademik, Tan Sri Ibrahim Abu Shah pula berpendapat punca masalah tersebut perlu dilihat dari pelbagai sudut dan daripada peringkat permulaan lagi.
Menurut beliau, menjadi sifat manusia untuk memilih yang lebih mudah dan itu juga sering dilakukan murid serta pelajar dalam memilih aliran pelajaran di sekolah mahupun kursus di universiti.
"Murid Melayu terutamanya takut untuk mengambil aliran sains yang dilihat lebih susah menjelang peperiksaan utama di sekolah.
"Di peringkat matrikulasi juga begitu, mereka takut untuk meneruskan ke bidang sains sebaliknya bertukar ke bidang lain walaupun telah mengambil subjek sains ketika matrikulasi," katanya.
Tambahnya, keputusan peperiksaan ketika matrikulasi juga menjadi halangan kerana CGPA yang diperolehi menghalang atau menyukarkan pelajar meneruskan pendidikan sains kritikal dan terpaksa memilih bidang kurang kompetitif.
Menurutnya, rasa takut dan keputusan peperiksaan menjadi antara punca utama kurangnya pelajar Melayu di universiti-universiti yang menawarkan subjek kritikal dan profesional.
Namun, beliau merasakan guru yang menjadi faktor paling penting dalam menentukan arah tuju murid-murid mengambil aliran sains ke arah subjek kritikal di universiti kelak.
"Para guru menjadi tiang utama dalam membimbing, menggalakkan dan memberi motivasi kepada pelajar untuk mengambil aliran sains.
"Peranan guru cukup penting sebagai satu ibadah, tugas suci dalam melatih murid-murid mereka menjadi manusia yang berjaya dan berguna," tegasnya.
Tambahnya, walaupun ibu bapa mempunyai peranan tersendiri dalam menggalakkan anak-anak ke arah sains, tetapi hakikatnya murid lebih mendengar kata-kata guru di sekolah.
"Tambahan pula, ibu bapa yang rata-rata sibuk dengan kerja kini telah melepaskan sepenuhnya anak kepada sekolah terutamanya jika sekolah berasrama penuh.
"Maka murid lebih banyak menghabiskan masa di sekolah dan dengan itu lebih mendengar cakap guru mereka," jelasnya.
Malangnya, mengikut pengamatan beliau sejak bersara dari Universiti Teknologi Mara (UiTM), guru-guru di sekolah kebangsaan dilihat tidak begitu komited dalam membangunkan modal insan murid terutamanya anak-anak Melayu.
"Sedih saya katakan, kita tidak begitu komited berbanding guru di sekolah Cina yang pentingkan kualiti, disiplin dan kekitaan di kalangan murid mereka.
"Kebanyakan sekolah Cina tidak membuang masa hujung minggu sebaliknya mengadakan aktiviti sukan, tuisyen dan macam-macam lagi bersama murid-murid," ujarnya.
Jelasnya, guru besar dan guru-guru sekolah Cina begitu komited dan ikhlas kerana sayangkan bangsa mereka sehingga sanggup meluangkan masa hujung minggu bersama murid sekolah tanpa meminta apa-apa pampasan.
Ibrahim juga sedih membandingkan cara pendidikan bangsa lain dengan orang Melayu dalam menanam semangat rajin belajar dan bekerja keras untuk berjaya kelak.
"Lihat saja murid Melayu di hujung minggu, bebas nak buat apa pun. Masa di sekolah pula banyak dibazirkan guru dengan perkara lain seperti bercakap isu politik di dalam kelas.
"Sedih, kenapa tak sayang kepada bangsa dan agama kita seperti mana guru Cina dalam mendidik anak-anak bangsa mereka sedangkan guru kita telah diberikan gaji besar," soal beliau.
Oleh itu, beliau mencadangkan orang Melayu belajar daripada orang Cina, sama ada guru mahupun ibu bapa dalam aspek pendidikan anak-anak bangsa.
"Saya berharap dalam menangani isu ini, para guru jangan berkira sangat dan betul-betul ikhlas dalam membentuk anak bangsa yang berjaya.
"Kita bantu murid-murid dengan mengubah sikap, bantuan peruntukan dan sebagainya. Biarkan otak anak-anak ini bersih daripada perkara tidak berkaitan agar mereka boleh fokus kepada pelajaran," katanya.
Tegasnya, langkah ini menjadi satu revolusi pemikiran dan kognitif yang perlu disegerakan kerana jika terus gagal muhasabah diri dan memperbaiki apa yang perlu, semakin lama orang Melayu semakin ketinggalan.
- UTUSAN