Mengapa pelajar sains kurang?
johanyusuf88@gmail.com
KITA maklum bahawa Malaysia sedang menggapai matlamat bergelar negara maju pada tahun 2020, yang cuma berbaki lapan tahun lagi.
Namun, realitinya pelajar-pelajar kita yang diharap memberi impak kepada matlamat ini semakin berkurangan, sekali gus menjejaskan wawasan tersebut.
Untuk menjadi negara maju, sains mesti ditekankan di kalangan rakyat, seiring dengan pemikiran kritikal, rasional dan analitikal. Persoalannya mengapa pelajar tidak mahu mengambil jurusan sains?
Dasar pendidikan oleh kerajaan selalunya berubah sebaik sahaja menteri pelajaran bertukar tangan dan hasilnya tiada kesinambungan.
Jadi adalah lebih baik sekiranya cadangan yang asal itu ditambah baik dari tahun ke tahun, berbanding menukar keseluruhan idea tanpa kajian menyeluruh.
Itu di peringkat sekolah, di peringkat tinggi, keadaan menjadi lebih teruk lagi. Pelajar-pelajar cemerlang ini, malah kami yang sedang belajar ini merasakan bahawa tiada guna mengambil jurusan yang lebih sukar ini, sedangkan tangga gaji dalam kerajaan dan swasta tidak banyak bezanya dengan pelajar aliran sastera yang lain.
Gaji permulaan dalam kerajaan, jika dibuat perbandingan antara golongan sains dan pentadbiran cuma lebih 100-200 bagi gaji permulaan dan gaji siling berbanding golongan sastera (Sila rujuk tangga gaji SPA dari T1 - T20 sebelum SBPA).
Ini amatlah tidak setimpal dengan pengorbanan dan perit jerih bergelar pelajar sains.
Untuk pengetahuan, tidak ramai pelajar sains yang mampu tamat diploma atau ijazah mengikut masa yang ditetapkan kerana terpaksa mengulang akibat gagal dalam subjek tertentu yang jauh lebih sukar daripada mereka yang mengambil subjek sastera.
Berbalik kepada soal di atas, kita akhirnya dapat menyimpulkan mengapa pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Mara di luar negara terutamanya bidang perubatan, ramai yang tidak pulang berkhidmat di Malaysia setelah tamat belajar, sebaliknya memilih untuk berkhidmat di luar negara. Mengapa?
Ini kerana gaji di luar negara selama 3-4 tahun saja sudah mampu membayar semula tajaan kerajaan kepada mereka, berbanding jika mereka terpaksa berkhidmat dengan kerajaan selama beberapa tahun dengan gaji yang relatifnya sangat kecil.
Sistem biasiswa dan pinjaman pelajaran juga seolah-olah tidak adil kepada pelajar sains.
Jika kita perhatikan, kebanyakan daripadanya (ambil PTPTN sebagai contoh) hanya menukar pinjaman kepada biasiswa sekiranya pelajar berjaya memperoleh Ijazah Kelas Pertama iaitu CGPA 3.50 dan ke atas bagi kebanyakan universiti. Dan hal ini sama kepada semua pelajar, tidak kira jurusan sains atau sastera.
Jika beginilah keadaannya, sudah tentu pelajar sastera yang akan beroleh banyak manfaat berbanding pelajar sains kerana tidak ramai pelajar sains yang memperoleh keputusan tersebut berbanding pelajar sastera.
Hal ini lebih adil sekiranya pelajar sains diberikan kayu ukur yang lebih rendah berbanding pelajar sastera dalam penentuan Ijazah Kelas Pertama.
Saya yakin, sebabnya lebih banyak. Mungkin ia berbunyi remeh, namun sekiranya hal ini tidak diberikan perhatian, maka kita bakal melihat lebih banyak brain drain dan kekurangan bijak pandai yang berlatarbelakangkan jurusan sains di Malaysia.
Mereka ialah orang yang bijak, jangan sia-siakan kebolehan mereka untuk menyumbang kepada negara ini.
- UTUSAN