Negeri Sembilan Juara Piala Sumbangsih 2012 kalahkan Kelantan 2 - 1


KUALA LUMPUR, 7 JAN 2012 – Setelah tiga kali mencuba, hajat Negeri sembilan menjulang Piala Sultan Ahmad Shah akhirnya terlaksana apabila menewaskan Kelantan 2-1 dalam Perlawanan Sumbangsih - pembuka tirai Liga Malaysia 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Wira Hoben Jang Hoben dalam perlawanan itu adalah penggempur import dari Cameroon, Jean Emmanuel Effa Owona yang menjadi pemusnah Kelantan dengan dua jaringan pada minit ke-31 dan 63 walaupun Red Warriors memimpin perlawanan terlebih dahulu melalui pemain paling bernilai tahun lalu, Norshahrul Idlan Talaha seawal minit ke-22.

Kemenangan di hadapan 25,000 penonton itu membuktikan pasukan bimbingan Azraai Khor Abdullah masih berbisa bagi menghadapi musim baru walaupun kehilangan ramai pemain bintang yang berhijrah ke pasukan lain.

Bagi Kelantan, kelemahan pertahanan jelas menjadi punca kekalahan mereka yang gagal mengekang dengan baik ketangkasan Effa Owona yang beraksi begitu cemerlang sekali gus menghancurkan harapan peminat setia mereka yang mahu melihat Piala Sultan Ahmad Shah kekal setahun lagi di Kota Bharu.

Ketiadaan Azizi Mat Rose yang dikeluarkan pada penghujung separuh masa pertama memberikan kesan kepada persembahan keseluruhan barisan kubu Kelantan sepanjang separuh masa kedua yang bagaikan tidak berdaya menangani serangan bertali arus Negeri Sembilan terutama melalui S. Kunanlan.

Kekalahan itu bagaikan memberikan petanda kurang baik buat Kelantan yang bakal bertandang ke Stadium Jalan Besar, Selasa ini bagi menghadapi Lions XII dalam perlawanan pertama Liga Super.

Mohd. Farisham Ismail menjadi pilihan Peter Butler bermain di posisi bek kanan menggantikan Mohd. Daudsu Jamaludin yang digantung perlawanan manakala Ghaddar bergandingan dengan Norshahrul dan Indra Putra Mahayuddin di barisan serangan.

Sementara itu, Negeri Sembilan melakukan sedikit rombakan apabila kehilangan Mohd. Shukor Adan dan terpaksa meletakkan G. Mahathevan bergandingan dengan Norhafiz Zamani Misbah yang memikul tugasan ketua pasukan.

Kelantan yang menguasai sebahagian besar perlawanan pada permulaan separuh pertama seolah-olah memberikan petanda bahawa akan bergelar pemenang malam semalam apabila menggegar pintu gol Negeri Sembilan menerusi gerakan cantik Norshahrul.

Hasil umpanan Ghaddar, Norshahrul memperdayakan dua pertahanan Kelantan dalam kotak penalti sebelum menewaskan Farizal Marlias bagi menggembirakan kira-kira 15,000 penyokong setia Red Warriors.

Namun, kegembiraan Kelantan hanya bertahan sembilan minit apabila tonggak import Negeri Sembilan, Effa Owona melakukan gerakan secara solo ke dalam kotak penalti dan melepaskan rembatan padu yang mengelirukan Khairul Fahmi Che Mat kerana bola sebelum itu mengenai Farisham.

Red Warriors semakin hilang rentak pada separuh masa kedua ketika Negeri Sembilan semakin rakus menguasai perlawanan dan akhirnya Effa Owona memastikan kehadirannya dalam saingan liga musim ini perlu diberikan perhatian oleh pasukan lain apabila menjaringkan gol kemenangan 18 minit selepas separuh masa kedua bermula.

Berpunca daripada hantaran silang Tengku Qayyum Ubaidillah berhampiran pintu gol Kelantan, Effa Owona yang gagal dikawal oleh pertahanan Kelantan mudah menanduk masuk bagi memastikan Piala Sultan Ahmad Shah hadir ke Seremban buat pertama kali sejarah penganjuran piala itu semenjak tahun 1985.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url