Petronas perkenal aplikasi Petronas Pitstop untuk pengguna iPhone

KUALA LUMPUR 16 Jan. - Bilangan stesen minyak Petronas bakal melepasi paras 1,000 buah seluruh negara sebelum akhir tahun ini berbanding 968 buah ketika ini.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Dagangan Bhd. (PDB), Amir Hamzah Azizan berkata, PDB memperuntukkan antara RM350 juta hingga RM400 juta setahun untuk kos dan pengembangan operasinya.

"PDB akan menambah 67 buah stesen minyak baharu pelbagai saiz di seluruh negara sepanjang tahun ini dan jumlah keseluruhan bakal mencecah 1,035 buah akhir 2012," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan kempen Petronas Coffee Break kali ke-13, di sini hari ini.

Kempen yang dianjurkan sempena cuti Tahun Baru Cina tersebut merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial syarikat petroleum nasional berkenaan selain memberi kemudahan kepada pelanggan setianya.

Pada kempen kali ini, PDB turut memperkenalkan aplikasi Petronas Pitstop yang berperanan memberi maklumat kepada orang ramai berkenaan semua lokasi stesen minyak Petronas menerusi telefon pintar iPhone.

Aplikasi Petronas Pitstop boleh dimuat turun secara percuma mulai hari ini dan pengguna boleh mengawasi perbelanjaan minyak, memeriksa mata ganjaran Kad Mesra, pelbagai informasi terbaharu dan berhubung dengan Mesralink PDB secara dalam talian.

Aplikasi baharu tersebut akan mula ditawarkan kepada sistem operasi Android dalam masa dua bulan lagi.

Amir Hamzah berkata, pengenalan aplikasi baharu tersebut menandakan kesungguhan PDB untuk membawa penambahbaikan perkhidmatan pelanggan dan akan dikembangkan dengan menawarkan pelbagai fungsi pada masa depan.

Menurutnya, kempen Petronas Coffee Break mendapat kerjasama daripada Old Town White Coffee, Tropicana Twister, Julie's Love Letter, Oriental Food, Petrosains dan Perusaaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua).

"Orang ramai akan menikmati makanan dan minuman percuma serta pemeriksaan kenderaan secara percuma oleh Perodua sepanjang kempen tersebut," jelasnya.

Petronas Coffee Break akan dilakukan dalam dua fasa iaitu pada 20 hingga 22 Januari ini dan 26 hingga 29 Januari depan di 32 buah stesen minyak terpilih.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url