1 Februari - Hari Wilayah Persekutuan


RIBUAN bendera Wilayah Persekutuan kelihatan gah di tangan-tangan para peserta perbarisan yang mengambil bahagian dalam perarakan perbarisan sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2012 Sabtu lalu.

Perayaan Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.

Sambutan pada tahun ini merupakan perayaan kali kelapan yang menggabungkan ketiga-tiga wilayah berkenaan sejak wujudnya Kementerian Wilayah Persekutuan pada 27 Mac 2004.

Walaupun tidak semua negeri di Malaysia meraikan Hari Wilayah Persekutuan, namun aura kemeriahan di Dataran Merdeka menyamai taraf sambutan kemerdekaan yang disambut di seluruh negara.

Wajah bangga dan ceria terpancar sambil tangan mengibar bendera berona kuning, biru dan merah. Bendera itu dihiasi lambang jata negara di bahagian tengah yang dikongsi oleh ketiga-tiga Wilayah Persekutuan iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Bendera terbabit menerapkan warna asas Jalur Gemilang yang melambangkan Wilayah Persekutuan adalah milik Kerajaan Persekutuan dan seluruh rakyat Malaysia.

Kibar panji-panji

Sebelum penggunaan bendera Wilayah yang baharu sejak tahun 20 Ogos 2006 ketiga-tiga Wilayah Persekutuan menggunakan bendera masing-masing.

Pada 20 Ogos 2006, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Ke-12, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah berkenan mengisytiharkan bendera Wilayah Persekutuan dengan rasminya.

Sebelum itu, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) telah memohon khidmat mereka bentuk bendera daripada Dekan Fakulti Seni lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara.

Persoalannya, sekuat manakah aura warga Wilayah Persekutuan menyambut perayaan yang bersejarah ini?

Hasil tinjauan di dua Wilayah Persekutuan iaitu Kuala Lumpur dan Wilayah Putrajaya sebelum 1 Februari mendapati, tidak ramai warga Wilayah yang mengibarkan panji-panji kebanggaan Wilayah Persekutuan itu di kediaman masing-masing. Sebaliknya, bendera tersebut hanya berkibar di bangunan-bangunan kerajaan, sebahagian bangunan swasta dan premis-premis perniagaan.

Apakah tidak ada langsung semangat kekitaan terhadap wilayah yang menjadi tempat tinggal mereka?

Mengikut Kamus Dewan Edisi Keempat, bendera membawa maksud sepotong kain biasanya segi empat bujur yang ada reka bentuk tertentu digunakan sebagai lambang sesebuah negeri atau sebagai isyarat dan panji-panji.

"Bendera Malaysia contohnya, merujuk kepada negeri-negeri yang wujud di Malaysia. Malaysia terdiri daripada banyak negeri dan terbahagi kepada tiga bahagian iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

"Ia melibatkan negara bangsa, namun perlembangaan itu lebih penting kerana setiap negara perlu ada perlembagaan. Bendera itu cuma lambang sesuatu negara bangsa dan rakyat dikehendaki menghormati lambang yang mewujudkan negara bangsa," kata pakar sejarah, Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim.

Mungkin ramai antara kita tidak begitu endah mengenai bendera, namun apabila ada pihak luar yang mencetuskan provokasi dengan memijak dan membakar bendera, ia membangkitkan api kemarahan kerana tindakan tersebut seolah-olah menghenyak maruah mereka walaupun sebelum ini mereka tidak ambil pusing mengenai bendera.

"Di Barat contohnya, insiden memijak dan membakar bendera sebagai satu kesalahan yang sangat serius. Di sana bendera sangat penting. Jika bertempur di medan perang, seboleh-bolehnya individu yang memegang bendera itu perlu pastikan bahawa bendera itu tidak jatuh.

"Jika dia sendiri rebah, dia perlu berikannya pada rakan seperjuangan yang lain. Kini, rakyat Malaysia juga begitu kerana bendera melambangkan maruah negara," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengapa tidak ramai warga Wilayah Persekutuan tidak mengibarkan bendera di kediaman mahupun kenderaan masing-masing? Kay Kim berpendapat, kemungkinan mereka tidak begitu faham mengenai sejarah Hari Wilayah Persekutuan itu dan apa yang mereka tahu setiap 1 Februari ialah cuti umum.

Katanya, sejarah mengenai Kuala Lumpur dan pengiktirafannya sebagai Wilayah Persekutuan perlu dipupuk di peringkat sekolah.

"Mereka tidak ambil pusing mungkin kerana kesannya tidak begitu mendalam berbanding Hari Kemerdekaan dan sambutan itu terhad di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sahaja.

"Apa yang boleh dilakukan bagi meningkatkan kesedaran mereka ialah tekankan aspek sejarahnya. Kebanyakan anak muda sekarang tidak menghargainya kerana bagi mereka sejarah itu tidak penting dan mungkin juga kurang kesedaran mengenai pentingnya sesuatu sejarah," ujarnya sambil memberitahu golongan muda kini sukar untuk digerakkan.

Baginya, pembangunan di Kuala Lumpur yang bermula pada abad ke-19 hingga kini amat luar biasa.

Kay Kim memberitahu, 1 Februari begitu signifikan dalam dirinya. Ia merakam satu memori indah kerana pada tahun 1949, beliau mewakili sekolahnya Anglo Chinese School Teluk Anson, Perak dalam pertandingan bola sepak.

Sementara itu, mengulas mengenai kesuraman warga Wilayah Persekutuan mengibarkan bendera menjelang Hari Wilayah Persekutuan, salah seorang orang kuat KWPKB iaitu Ketua Setiausahanya, Datuk Ahmad Phesal Talib menjelaskan, senario tersebut berlaku kemungkinan warga Wilayah Persekutuan menganggap 1 Februari ialah cuti umum yang disambut secara berulang.

Tingkat kesedaran

"KWPKB perlu memperhebatkan lagi kesedaran menggerakkan penglibatan aktif seluruh warga Wilayah Persekutuan untuk menjadikan 1 Februari sebagai hari yang bermakna pada mereka.

"Justeru, kempen Kibar Bendera akan dipergiatkan ke sekolah-sekolah dengan kerjasama Jabatan Pelajaran ke tiga-tiga Wilayah Persekutuan," katanya.

Melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Labuan (PL) dan Perbadanan Putrajaya (PPj) akan bekerjasama bersama pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Persatuan Penduduk dan pelbagai persatuan seperti Persatuan Penjaja, Persatuan Sukan dan Dewan Perniagaan untuk membolehkan peningkatan kesedaran dan memupuk semangat jati diri dan rasa bangga yang lebih tinggi sebagai warga Wilayah Persekutuan.

"Sewajarnya warga Wilayah Persekutuan menghayati Hari Wilayah Persekutuan ini sebagai sesuatu yang penting kerana terbentuknya sebuah identiti bagi ketiga-tiga Wilayah yang ditadbir oleh Kerajaan Persekutuan.

"Dengan adanya status ini, pelbagai keistimewaan diberikan oleh kerajaan bagi memastikan Wilayah Persekutuan yang menjadi gerbang dan mercu tanda pembangunan Malaysia secara keseluruhan," jelasnya.

Bagaimana dengan alasan mereka tidak mengibarkan bendera kerana tidak diberi bendera percuma?

Ahmad Phesal mengakui bahawa kebanyakan warga kota khususnya penduduk kawasan perumahan mengharapkan bendera dibekalkan secara percuma.

"Tetapi melihat kepada sambutan yang diberikan oleh sektor swasta, kibaran bendera dijalankan atas inisiatif sendiri dengan menggunakaan kos masing-masing.

"Saya yakin dengan usaha yang diambil KWPKB, DBKL, Perbadanan Labuan dan Perbadanan Putrajaya akan terus meningkatkan kesedaran dan penglibatan warga Wilayah Persekutuan untuk mengibarkan bendera pada 1 Februari setiap tahun sebagai Hari Wilayah Persekutuan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url