Promosi perniagaan melalui Facebook


Oleh HASANI HASSAN
http://hasanihassan.com/

FACEBOOK adalah rangkaian media sosial yang paling pantas berkembang pada masa kini dan dianggarkan hampir separuh daripada pengguna Internet dunia mempunyai akaun Facebook. Setiap hari beribu-ribu pengguna baru mendaftarkan diri untuk menggunakannya.

Pada saat artikel ini ditulis, terdapat 12,268,300 penduduk Malaysia yang mempunyai akaun Facebook iaitu hampir separuh daripada jumlah penduduk dan nombor itu juga mewakili 70 peratus daripada populasi dalam talian Malaysia.

Fakta-fakta itu menyokong mengapa Facebook menjadi laman web nombor satu paling ramai dilayari di Malaysia dan juga kebanyakan negara lain.

Bayangkan potensi yang sangat besar ini serta pengaruh yang boleh dibawa melaluinya untuk membina jenama dan seterusnya mempromosikan sebarang produk atau perkhidmatan kepada 12 juta bakal pelanggan! Satu peluang yang seharusnya direbut segera oleh mana-mana usahawan untuk melonjakkan perniagaan mereka.

Jika dibandingkan dengan medium lain seperti akhbar, majalah, radio dan televisyen, Facebook mempunyai kelebihannya yang tersendiri dalam menghubungkan terus pelanggan kepada perniagaan anda kerana sifatnya sebagai ruang untuk bersosial.

Manusia secara semulajadinya memang memerlukan kehidupan sosial tetapi kesibukan harian untuk bekerja dan mencari rezeki telah membataskan keperluan itu, tetapi apabila Facebook muncul, ia bagai mengisi kekosongan dalam jiwa mereka.

Tetapi persoalannya bagaimana untuk mengeksploitasikan kelebihan ini semaksimumnya untuk kebaikan perniagaan dan keusahawanan? Jika diperhatikan pada wall bila kita masuk ke dalam akaun Facebook, saya percaya anda mungkin sudah boleh lihat pelbagai ragam orang dalam mempromosikan apa-apa produk dan perkhidmatan mereka.

Ada sebahagiannya mengiklankan terus dengan memberikan pautan, memaparkan gambar produk, menandakan (tag) nama anda pada imej tertentu, mempromosikan tawaran-tawaran diskaun dan lain-lain. Ini adalah minda pengiklanan cara lama yang dibawa dari medium-medium tradisional. Dalam dunia teknologi, orang mudah meluat dengan pengiklanan seperti itu dan di dalam Facebook mereka mempunyai kuasa untuk menapisnya atau memblok terus.

Teknik menanda gambar produk dengan nama rakan-rakan juga sebenarnya agak tidak senonoh dan seringkali membuatkan orang tidak selesa. Bayangkan jika ada rakan menampalkan iklan mereka di atas belakang kita tanpa disedari dan kita berjalan-jalan di tempat awam. Nampak bodoh bukan?

Kadang-kadang kita juga mungkin ada menerima permintaan dari 'Kedai Emas', 'Jom Cuti', 'Karipap Sedap' atau nama-nama pelik lain lagi untuk menjadi rakan Facebook anda.

Cuba fikirkan, jika kita suka pada karipap, kita sudah tentu tidak akan berkawan dengan karipap, tetapi sebaliknya dengan orang yang membuat karipap itu, kerana karipap tidak boleh bersosial, begitu juga dengan kedai atau apa-apa jenama, sebaliknya kita bersosial dengan manusia. Komunikasi sebenar hanya wujud bila ada sentuhan nurani manusia dalam jalinan perhubungan. Ingat, Facebook adalah medium sosial.

Menggunakan Facebook sebagai medium untuk mempromosikan jenama atau perniagaan, anda kena lakukannya secara berhemah dan betul. Membuka akaun kedua atau menggunakan nama perniagaan sebagai profil di Facebook bukan sahaja salah di sisi peraturan Facebook tetapi juga adalah kaedah yang tidak profesional dan boleh merosakkan jenama perniagaan kita dalam jangka masa panjang.

Cara yang sepatutnya ialah dengan menghasilkan laman Facebook anda sendiri, ia adalah seperti membina laman web di dalam Facebook tetapi lebih mudah. Sebelum ini laman Facebook banyak digunakan oleh artis atau komuniti tertentu untuk membina laman peminat (fan page), tetapi keupayaan sebenarnya adalah jauh dari itu. Anda boleh mengendalikan perniagaan dalam talian anda sepenuhnya melalui Facebook tanpa memiliki laman web pun!

Untuk mencipta laman untuk perniagaan anda sendiri adalah cukup mudah, hanya klik pada pautan Create A Page pada bahagian bawah Facebook dan kemudian pilih kategori, muat naik logo atau gambar profail syarikat, masukkan maklumat asas, jemput rakan-rakan dan semuanya siap dalam masa seminit-dua sahaja.

Anda boleh menggunakan laman yang dihasilkan itu untuk tujuan perniagaan anda, sama ada untuk mendidik bakal-bakal pelanggan tentang produk atau perkhidmatan perniagaan anda, memaklumkan tentang apa-apa aktiviti atau perkembangan terbaru, serta membuat promosi tentang apa yang anda jual.

Laman itu juga berfungsi sebagai ruang untuk anda melayan kerenah pelanggan ibarat talian khidmat pelanggan seperti yang dimiliki oleh syarikat dan korporat besar!

Apa yang anda perlu lakukan di peringkat awal ialah untuk mengajak seramai mungkin rakan-rakan untuk like laman anda, serta menggalakkan mereka berkongsi laman anda dengan rakan-rakan mereka yang lain pula.

Jika profail Facebook anda hanya dibenarkan mempunyai sekitar 5,000 rakan sahaja, tetapi laman Facebook anda boleh mempunyai pengikut dan peminat yang tiada hadnya walaupun berjuta.

Menggunakan laman itu juga, anda tidak lagi perlu 'menceroboh' dan menulis di wall orang lain untuk membuat promosi, sebaliknya apa yang anda tulis di laman anda akan tersiar di wall setiap pengguna Facebook yang like laman anda tidak kira sama ada mereka rakan anda atau tidak, dan ini semuanya adalah percuma!

Terdapat banyak cara yang boleh anda gunakan untuk meramaikan peminat atau pengikut laman anda dan boleh dipelajari dengan merujuk kepada pautan http://www.putera.com/2012/02/.

Apa yang penting, anda perlulah rajin untuk menulis dan mengemaskininya dengan kandungan yang bermanfaat kepada pengguna. Contohnya jika anda adalah pengusaha karipap segera, anda boleh gunakan laman itu untuk berkongsi cerita tentang kenapa karipap segera wajar menjadi barangan runcit yang sentiasa perlu dibeli oleh suri rumah yang tidak punya masa untuk membuat karipap sendiri. Saya percaya ramai peminat karipap yang suka makan karipap tetapi tidak tahu bagaimana atau tidak ada masa untuk membuatnya sendiri.

Sesekali berkongsilah apa-apa cerita lucu yang berkaitan dengan karipap. Sesuatu yang lucu seringkali mudah menyentuh perasan orang dan mereka senang hati untuk berkongsi cerita itu dengan rakan-rakan mereka pula.

Orang selalunya akan berkongsi cerita yang menarik atau berguna dengan rakan-rakan mereka. Perhatikan apa yang dibualkan oleh pakcik-pakcik yang lepak di kedai kopi dan perhatikan apa yang digosipkan apabila makcik-makcik bertandang ke rumah jiran. Dalam bersosial tidak kira di mana, manusia memang cenderung untuk berkongsi cerita, dan tidak terkecuali Facebook, sebab itulah ada pautan untuk berkongsi (share).

Apabila pengguna Facebook berkongsi cerita dari laman anda, tanpa disedari mereka sebenarnya sedang mempromosikan perniagaan anda, dan cara halus sebegini sebenarnya lebih berkesan berbanding iklan biasa-biasa seperti "Dapatkan karipap paling sedap di dunia!".

Dalam menjadikan laman perniagaan anda lebih menarik, gunakanlah gambar atau imej yang bersesuaian. Anda boleh muat naik gambar-gambar mengenai produk anda, majlis-majlis yang berkaitan dan juga mungkin mempelawa para pelanggan anda mengirimkan gambar-gambar mereka bersama produk anda.

Bila bersedia, anda boleh memulakan langkah seterusnya untuk 'mencanggihkan' lagi laman tersebut dengan ciri-ciri tambahan yang disediakan oleh Facebook sendiri ataupun melalui pihak ketiga. Ini termasuklah untuk memasukkan video sehinggalah kepada menyediakan kemudahan tempahan dan bayaran secara dalam talian, semuanya melalui laman Facebook itu.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url