Selamat tinggal dunia mak nyah – Erin


MUNGKIN ramai yang memandang serong dan mencemuh kehadiran 'wanita jelmaan' ini, namun kewujudan mereka di tengah-tengah masyarakat sebenarnya seakan-akan telah diterima.

Namun, tidak ramai yang benar-benar menyelami kehidupan sebenar golongan yang lebih dikenali sebagai mak nyah dan mengambil berat tentang dilema mereka.

Baru-baru ini penulis berpeluang mendekati seorang lelaki yang dahulunya mak nyah, Mohd. Khairiri, 32 atau pernah selesa dipanggil Erin.

Ketibaan penulis dan jurugambar di Pusat Kecantikan Modahish miliknya di Klang, Selangor disambut mesra.

Suaranya lembut. Cuma dia tidak berpakaian seperti wanita. Jika dahulu, Erin akan memakai pakaian wanita lengkap dengan solekan.

Namun atas izin-Nya, Erin kini memilih untuk kembali ke pangkal jalan, mendekatkan diri dengan Allah dan melupakan zaman gelapnya.

Terpesong

Mengimbas detik-detik awal dirinya terpesong menjadi mak nyah , Erin memberitahu segala-galanya bermula sewaktu alam kanak-kanak.

Sebagai anak bongsu, dia sangat rapat dengan ibu dan arwah kakak sulungnya.

Kebetulan dia memang suka bergaya dan ingin kelihatan cantik seperti seorang wanita. Anak patung dan main masak-masak menjadi kegemarannya.

“Semasa di sekolah, naluri saya juga lebih kepada lelaki. Suara saya juga bukan buat-buat. Tengoklah saya tidak mempunyai halkum,” ujarnya sambil tersenyum.

Bagaimanapun, jelas Erin, pernah terdetik di hatinya, sampai bilakah dia akan menjadi sedemikian?

Dia pernah mencuba untuk menjadi lelaki sejati tetapi tidak berjaya.

Ini kerana menurutnya, dia tidak boleh menipu diri sendiri selain hatinya memberontak.

Hari ini, Erin bukan sahaja seorang insan yang berjaya dengan kerjayanya malah dia juga gembira di samping keluarga tersayang.

Erin sememangnya seorang individu yang amat bertuah kerana ibu bapanya sentiasa memberi sokongan.

“Mereka jugalah yang banyak memberi saya nasihat dan dorongan untuk berubah. Walaupun ada yang mencemuh termasuk insan terdekat, saya tidak pernah mengalah. Saya meneruskan pelajaran sehingga berjaya dalam kerjaya. Semasa di sekolah, saya juga sangat aktif dalam pelbagai bidang sama ada pelajaran atau kesenian,” katanya.

Insaf

Di sebalik kisah keinsafan Erin, dia sebenarnya melalui kehidupan yang sangat sukar.

“Kira-kira tiga tahun dahulu, saya pernah mempunyai seorang teman lelaki yang lebih tua daripada saya. Saya jadikan dia insan istimewa dan mentor dalam hidup saya. Namun, kebaikannya pada saya rupa-rupanya bersebab. Selama lapan bulan tinggal bersamanya, hidup saya terseksa. Duit saya habis berpuluh ribu hanya untuk dia. Tidak cukup dengan taburan duit, saya dipukulnya sehingga patah hidung. Saya juga dipaksa mengambil dadah. Ketika itulah, saya tersedar. Sampai bila saya harus hidup seperti ini,” ujarnya yang mendakwa turut disihir oleh lelaki tersebut.

Kehidupan penuh seksa itu menyebabkan dia bertekad keluar daripada dunia mak nyah.

Dia kemudiannya menjalani rawatan secara Islam di Tanjung Rambutan, Perak.

“Perlahan-lahan saya keluar dari dunia saya sebelum ini. Saya mempelajari semula ilmu agama dan membaca al-Quran untuk mendekatkan diri dengan Tuhan. Alhamdulillah, saya berjaya merubah diri saya. Dunia mak nyah saya tinggalkan,” katanya yang turut mengadakan kelas dan kuliah agama di pusat kecantikannya.

Erin mahu jalan yang dipilihnya ini juga diikuti oleh golongan mak nyah lain. Erin bersedia membantu mereka yang ingin kembali ke pangkal jalan.

“Saya tahu golongan ini sangat keras hati. Tiada cara lain untuk mengubah mereka selain daripada kelembutan. Saya masih lagi berkawan dengan mereka. Saya berdoa supaya mereka juga diberi hidayat,” ujarnya.

Pesan Erin kepada ibu bapa yang mempunyai anak mengalami kecelaruan identiti sama ada mak nyah atau pengkid, jangan terlalu memaksa atau menekan mereka untuk berubah.

Paling penting, katanya, jangan sisihkan mereka.

“Banyakkan solat hajat supaya mereka menjadi lebih baik. Cara yang paling baik ialah menerusi perubatan Islam,” ujarnya yang boleh dihubungi 012-6425636.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url