Top Ad 728x90

PDRM guna semula nama Polis Marin

KUALA LUMPUR 17 Mac - Polis Diraja Malaysia (PDRM) memutuskan untuk menggunakan semula nama Polis Marin bagi menggantikan Pasukan Gerakan Marin (PGM) yang digunakan oleh pasukan keselamatan itu sejak dua tahun lalu.

Keputusan menggunakan semula nama lama itu adalah bagi menjunjung tinggi serta menghormati Panji Diraja 'Pasukan Polis Marin' yang dianugerahkan oleh Yang di-Pertuan Agong kepada pasukan keselamatan tersebut pada 24 Julai 1971.

Komander Polis Marin, Datuk Isa Munir berkata, penggunaan semula nama Polis Marin telah diputuskan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dalam mesyuarat tertinggi PDRM pada 17 Januari lalu.

Beliau berkata, nama Polis Marin akan diumumkan secara rasmi sebaik sahaja proses penstrukturan dan penyusunan semula pasukan itu selesai dilakukan dalam tempoh terdekat ini.

"Nama Polis Marin telah digunakan begitu lama dan di atas nama itu telah dikurniakan Panji Diraja oleh Yang di-Pertuan Agong pada 24 Julai 1971 di atas jasa dan pengorbanan pegawai dan anggota Polis Marin semasa darurat, satu daripadanya semasa serangan komunis di Balai Polis Bukit Kepong.

"Berikutan perubahan peranan pasukan itu dalam melaksanakan tugas teras kepolisan seperti siasatan, nama Polis Marin ditukar kepada PGM pada 6 Januari 2009 tetapi dalam tempoh tersebut, Panji Diraja yang diterima pada 1971 masih kekal digunakan sehingga kini," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika ditemui di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini semalam.

Menurut Isa, serentak dengan perubahan nama tersebut, beberapa penstrukturan baru dalam pasukan akan diperkenalkan dalam tahun ini termasuklah meletakkan Perintah dan Kawalan Operasi Polis Marin di bawah Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis di semua kontinjen.

Katanya, ini bermakna semua negeri akan memiliki keanggotaan Polis Marin berjumlah seramai 40 hingga 200 anggota dengan diketuai oleh seorang Pegawai Turus Marin Kontinjen yang berpangkat sama ada Supritendan dan Asisten Supritendan.

Beliau berkata, selepas ini, semua operasi marin di setiap negeri akan dikendalikan oleh Ketua Polis Negeri dan Pesuruhjaya Polis tetapi Polis Marin masih kekal di bawah perintah dan kawalan di segi Pentadbiran dan Operasi di bawah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDN/KA) Bukit Aman.

- MINGGUAN MALAYSIA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90