Soal Jawab Agama : Semua jenis perniagaan kena zakat
SAYA hanyalah seorang peniaga nasi lemak di warung kecil di kawasan perumahan saya. Alhamdulillah, rezeki yang saya peroleh semakin meningkat dan perniagaan juga berkembang. Sejak dua tahun lalu, saya sudah mampu menggajikan dua orang pekerja dan saya sendiri mendapat gaji tetap dari warung tersebut. Soalan saya, adakah saya dikenakan zakat pendapatan atau zakat perniagaan ke atas perniagaan tersebut? Jika zakat perniagaan, adakah saya perlu mengambil kira segala kos perniagaan sebelum mengeluarkan zakat perniagaannya? Bagaimana pula dengan pekerja saya, adakah saya wajib memotong zakat pendapatan mereka sebelum memberikan gaji?
JAWAPAN:
Alhamdulillah, semoga niat suci tuan untuk menunaikan zakat mendapat keberkatan daripada Allah SWT, sesuai dengan pesanan daripada Rasulullah SAW: "Peniaga yang jujur lagi amanah akan bersama para nabi, para siddiqin dan para syuhada di akhirat (nanti)." (Riwayat Imam at-Tarmizi dan al-Hakim).
Sesungguhnya, ramai peniaga kecil-kecilan dalam kalangan umat Islam yang terkeliru tentang status zakat ke atas diri mereka. Pertamanya, adakah perniagaan kecil itu juga tertakluk kepada kewajipan zakat? Keduanya, adakah mereka dikenakan zakat perniagaan atau pendapatan? Ketiganya, bagaimanakah mengira atau mentaksir zakat perniagaan mereka yang kecil-kecilan itu?
Jawapan mudahnya, semua perniagaan sama ada kecil atau besar adalah tertakluk kepada zakat perniagaan. Oleh itu, semua peniaga Muslim yang telah mencapai syarat wajib zakat, maka hukumnya adalah wajib mengeluarkan zakat. Diulang semula, lima syarat asas itu ialah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan haul.
Manakala, tiga syarat tambahan zakat perniagaan ialah mestilah menjual produk yang halal, tidak melakukan urusniaga yang haram (misalnya riba dan menipu) serta sememangnya ia diniatkan sebagai perniagaan. Misalnya, jika memelihara kambing, memang diniatkan untuk diniagakan, maka kena zakat perniagaan dan bukan zakat penternakan.
Merujuk kepada persoalan di atas, adakah tuan dikenakan sama ada zakat pendapatan atau perniagaan sahaja; atau kedua-dua jenis zakat sekali gus? Maka, di sini, pertama sekali harus diketahui bahawa zakat pendapatan dikenakan ke atas pendapatan yang diterima. Manakala, zakat perniagaan dikenakan ke atas harta-harta perniagaan tuan.
Maka, di sini tuan hakikatnya dikenakan dua jenis zakat, pertama zakat ke atas pendapatan bulanan yang tuan terima dan kedua, zakat ke atas harta perniagaan apabila sampai haulnya.
Bagi zakat pendapatan, taksirannya adalah seperti mana yang telah diterangkan sebelum ini, iaitu dengan menolak terlebih dahulu beberapa perbelanjaan ke atas diri sendiri, keluarga dan beberapa item lain. Kemudian, bakinya jika masih ada dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus.
Bagi zakat perniagaan, secara mudahnya, tuan hendaklah mengira keuntungan perniagaan yang telah dibuat selama setahun dicampur dengan modal semasa (yakni barangan yang sudah siap untuk dijual), kemudian ditolak dengan hutang perniagaan tuan dengan pihak lain dan ditambah dengan hutang peniaga lain kepada tuan (yang diharapkan mampu dibayar pada tahun semasa), setelah itu dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus. Ini asasnya.
Tuan juga hendaklah menolak terlebih dahulu segala macam kos, termasuklah gaji tuan, gaji pekerja, sewaan tapak, kos utiliti dan sebagainya (jika ada).
Berkenaan para pekerja pula, maka tuan tidaklah diwajibkan untuk memotong zakat mereka, kerana ia adalah kewajipan ke atas individu Muslim untuk menekuni dan mematuhi kewajipan zakat mereka sendiri.
Namun, jika tuan mengetahui pekerja tuan sememangnya sudah termasuk kategori wajib dan jika dibiarkan, mereka memang diyakini enggan berzakat, maka kala itu wajarlah tuan melaksanakan arahan wajib pemotongan zakat terus daripada gaji bulanan mereka.
Pun begitu, kaedahnya hendaklah diperhalusi, misalnya diberikan maklumat dan penerangan awal kepada mereka, juga diberikan bukti pembayaran zakat kepada institusi zakat kepada semua pekerja. Tuan juga wajib mengambil kira, adakah pekerja tuan memang benar-benar layak berzakat, ini kerana, hanya yang layak sahaja wajib berzakat.
Tuan boleh merujuk kepada formula pengiraan zakat perniagaan yang lebih terkini seperti mana yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor. (sila rujuk http://www.e-zakat.com.my/kalkulator-zakat/zakat-perniagaan/)
Kesimpulannya, tuan memang wajib mengeluarkan zakat ke atas perniagaan dan pendapatan tuan. Semoga penjelasan ini dapat membantu tuan dalam usaha mencapai keredaan Allah SWT, dalam setiap urusan dan pekerjaan. Wallahua'lam.
- UTUSAN