Petunjuk daripada gerak hati

DALAM kehidupan ini, adakalanya gerak hati kita memberitahu sesuatu yang tidak kita ketahui secara jelas. Ia adakalanya memberitahu kita tentang sesuatu yang akan berlaku.

Misalnya, apabila ada ahli keluarga yang sakit, hati kecil kita seolah-olahnya memberitahu ada sesuatu yang tidak kena. Adakalanya kita terkenangkan seseorang jadi hati kecil kita mula bertanya, adakah orang yang kita kenang itu mengingati kita juga?

Semua itu adalah gerak hati. Ia hal yang sangat sukar untuk diuji secara saintifik. Kita juga selalu terbaca dalam laporan akhbar mengenai seseorang yang mati dalam kemalangan atau kecelakaan, ahli keluarganya memberitahu bahawa mereka seolah-olah sudah diberikan 'tanda-tanda' tertentu seperti getus rasa tidak sedap hati. Bagaimanapun, manusia tidak mampu menerangkan apakah tanda-tanda itu.

Penjelasan yang diberikan juga kabur dan tidak dapat dibuktikan. Baru-baru ini, pada 7 Februari lalu, Kosmo! melaporkan seorang anggota polis ketika dalam perjalanan ke tempat kerja merasakan ada sesuatu yang tidak kena.

Hal itu memaksanya berpatah balik ke rumah dan kemudian mendapati kedua-dua orang adiknya yang berusia 18 dan 22 tahun mati akibat kemalangan jalan raya.

Kita mungkin berasa tidak logik dan tidak mampu menerangkan hal seumpama itu. Bagaimanapun, ia selalu sahaja terjadi dalam kehidupan seharian kita. Sesekali kita mengalaminya dan pada masa yang sama ada juga teman-teman baik kita juga melaluinya walaupun tidak ada penjelasan yang dapat diberikan bagi menerangkan hal seumpama itu.

Intuisi

Dari segi psikologi, hal tersebut dikenali sebagai intuisi atau secara definisinya 'the heart has its reasons which reason does not know'. Hati kita seolah-olah ada alasan tertentu untuk merasakan sesuatu kejadian atau peristiwa, tetapi alasan itu tidak dapat dinyatakan.

Dalam bahasa yang mudah, kita tahu sesuatu, tetapi tidak tahu apakah alasan untuk kita berkata begitu atau menerangkannya.

Bagaimanapun, kajian-kajian psikologi cuba menerangkan hal seumpama itu. Sebagai contoh, pemain catur dikatakan menguasai aspek intuisi berkenaan.

Pemain yang cekap boleh mengagak apabila ia menggerakkan buah catur tertentu, lawan mereka akan menggerakkan buah catur tertentu juga lalu pihak lawan berkenaan dapat dikalahkan. Konsep intuisi itu juga dikatakan sebagai membezakan pemain pakar dengan pemain amatur.

Mungkin konsep intuisi juga menjadikan pasukan ternama mampu mengalahkan pasukan bawahan dengan mudah, misalnya dalam pertandingan bola sepak. Pemain ternama seperti sudah mengetahui bahawa mereka mampu memerangkap pasukan lawan dengan melakukan gerakan tertentu.

Pengalaman masa lalu

Boleh dikatakan, mereka yang pernah melalui pengalaman tertentu dalam sesuatu perkara lebih berupaya untuk menguasai aspek intuisi. Pengalaman yang dilalui itu membolehkan seseorang membuat ramalan yang lebih baik dengan bersandar kepada pengalaman di masa lalu.

Begitu juga apabila mereka yang buta disuakan dengan sebatang kayu. Walaupun tidak nampak apa-apa, mereka mampu meneka sama ada kayu itu menegak atau dibaringkan. Mereka juga boleh menjawabnya dengan tepat walaupun tidak melihat.

Semua itu adalah gerak hati. Dalam masyarakat kita, amalan bomoh dan perubatan tradisional misalnya mampu melakukan ramalan tertentu dengan hanya melihat air di dalam mangkuk atau melakukan acara ritual tertentu.

Ada yang mampu menemukan semula barang yang hilang atau mencari mereka yang tersesat di dalam hutan dengan hanya melihat kepada tanda-tanda tertentu.

Semua ini menunjukkan gerak hati adakalanya mampu memberitahu kita sesuatu. Bagaimanapun, harus diingat dalam banyak keadaan tidaklah bermakna bahawa intuisi boleh selalu dipercayai. Ramai juga yang telah merosakkan diri sendiri dan orang lain hanya kerana gerak hati.

Kita juga perlu berwaspada dengan orang yang memberitahu kita bahawa mereka mampu melakukan sesuatu yang luar biasa dengan kuasa ramalan mereka. Ramai juga yang telah tertipu dan menjadi mangsa.

Jika berdepan dengan situasi itu, sama ada intuisi kita memberitahu sesuatu tanda, kita seharusnya kembali kepada akal yang waras dan pemikiran logik agar kita tidak terpedaya. Itu adalah langkah yang lebih baik.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url