Dr. Muhaya sentiasa mencari ilmu
PERJALANAN kerjayanya untuk mendaki ke puncak dilihat begitu mudah. Namun katanya, semua itu adalah anugerah Allah, berkat doa, restu dan sokongan suami serta ibu bapa.
Itulah jawapan Prof. Dr. Muhaya Mohamad, tatkala ditanya resipi kejayaannya.
Dikenali sebagai pakar mata, beliau sebenarnya mengisi masa lapangnya dengan memberi nasihat dan motivasi.
Walaupun sibuk dengan jadual kerja dan temujanji pesakit, beliau tetap meluangkan masa menyampaikan kata-kata motivasi menerusi laman webnya dan laman sosial, facebook.
Ujarnya, sekiranya seorang itu bercita-cita menjadi doktor semata-mata mengejar glamor dan wang ringgit, ia sebenarnya tidak sempurna.
Justeru, doktor itu sendiri berperanan membantu dan tidak memikirkan kesenangan mahupun keuntungan diri.
Lantaran prinsip itulah maka wanita yang berusia 53 tahun ini, tidak jemu mencari ilmu dan berkongsi dengan orang lain.
Ilmu
Gayanya menyampaikan ceramah dan peringatan banyak dipengaruhi oleh ilmu.
"Perjalanan dari rumah ke pejabat yang mengambil masa selama satu jam, saya isi dengan mendengar CD ceramah agama dan maklumat itu dikongsi bersama pekerja dan pesakit.
"Pada waktu rehat pula, saya luangkan masa mendengar input ilmiah termasuk motivasi dan sebagainya.
"Saya memang kedekut masa. Bagi saya, masa yang ada perlu diisi dengan perkara-perkara berfaedah," katanya yang minat menonton drama Korea yang banyak mengenengahkan unsur kasih sayang dan kekeluargaan.
Nyata rutinnya itu bermula hasil daripada didikan arwah bapanya yang percaya manusia akan menjadi insan terpuji menerusi ilmu yang dipelajarinya.
Sebab itulah Dr. Muhaya lebih banyak menghabiskan masa dengan membaca ilmu agama, menonton rancangan ilmiah dan bermain bersama-sama cucu kesayangannya.
"Saya juga menumpukan laman sosial facebook. Setiap hari saya akan memberikan nasihat atau kata-kata hikmah. Saya mahu pengikut laman ini mendapat sesuatu yang bermanfaat," ujar beliau.
Dr. Muhaya yang sering dijemput berkongsi pengetahuan dalam pelbagai penyakit mata, juga mempunyai blog sendiri, www.drmuhaya.com.
"Menerusi blog ini, orang ramai boleh melanggan video ceramah motivasi yang disampaikan oleh saya sendiri," katanya yang gemar makan di rumah berbanding di restoran.
Kahwin awal
Beliau menjadi pelajar Melayu pertama yang dapat empat Prinsipal dalam peperiksaan Higher School Certificate (kini STPM) pada 1978 dan ditawarkan bidang perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bersama suami, Dr. Azmi Jamion, 55 yang masuk ke UKM terlebih dulu.
Mereka mendirikan rumah tangga pada tahun kedua pengajian. Nyata, perkahwinan tidak menjejaskan pelajaran malah mendapat pelajar terbaik pada tahun itu.
Menurut Dr. Muhaya, pertemuannya dengan Dr. Azmi adalah secara kebetulan dan mereka tidak mengenali antara satu sama lain sebelum itu.
"Dr. Azmi ke Sekolah Tun Fatimah menghadiri Pertandingan Perbahasan Piala Perdana Menteri yang mana sekolah saya menjadi tuan rumah ketika itu.
"Buat kali pertama saya terpandang Dr. Azmi sewaktu dia berada di padang menonton pertandingan bola tampar yang diadakan.
"Ketika itulah hati saya terdetik 'hensemnya dia', dan saat itu juga saya jatuh cinta pandang pertama padanya," ujarnya sambil tersenyum.
Mengimbas memori tersebut, baik Dr. Muhaya atau Dr. Azmi, masing-masing menyatakan, peristiwa tersebut tidak pernah luput daripada ingatan kerana sememangnya peristiwa tersebut merupakan detik terindah yang ingin kenang sampai bila-bila.
- MINGGUAN MALAYSIA