Bank Negara tawar Biasiswa Kijang Emas


PELAJAR cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011, Wardah Shafiqah Mohammad Fadil, 18, menerima hadiah hari lahir istimewa tahun ini apabila tersenarai sebagai penerima Anugerah Biasiswa Kijang Emas, Bank Negara Malaysia (BNM) untuk melanjutkan pengajian ke universiti, di Bilik Kijang Emas, BNM, Kuala Lumpur, Khamis lalu.
Beliau yang dilahirkan pada 25 April 1994 adalah seorang daripada lima penerima biasiswa berprestij yang disampaikan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz.
Wardah Shafiqah yang bercita-cita menjadi pakar Geofizik berhasrat melanjutkan pengajian di luar negara terutama universiti ternama di Amerika Syarikat dan kemudian mahu mempraktikkan kepakarannya dalam industri gas, cari gali minyak atau pensyarah.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Fatimah, Johor Bahru itu berkata, selepas memperoleh 9A+ dan 1A dalam SPM tahun lalu, beliau memohon antara tujuh hingga lapan biasiswa daripada pelbagai agensi dan memutuskan untuk menerima tawaran Biasiswa Kijang Emas, BNM.

“Saya gembira menerima Biasiswa Kijang Emas dan menganggapnya sebagai hadiah ulang tahun Ke-18,” katanya yang turut menerima tawaran melanjutkan pengajian ke Universiti Teknologi Petronas (UTP) di Tronoh, Perak.

Empat lagi penerima biasiswa ialah bekas pelajar SMK Convent, Teluk Intan, Perak, Turga Ganapathy; Kwong Kien Yi (SMK Clifford, Kuala Lumpur); Adnan Zikri Jaafar (SMK Agama Persekutuan, Labu, Negeri, Sembilan); dan Pavithran a/l Maniam (SMK Damansara Utama, Petaling Jaya).
Seramai 2,900 pelajar cemerlang SPM memohon biasiswa itu tahun ini dan daripada jumlah berkenaan 24 orang disenarai pendek sebelum memuktamadkan lima penerima yang turut membuat penilaian pembabitan mereka dalam kokurikulum meliputi sukan.

Sehingga kini, seramai 39 pelajar cemerlang menerima anugerah biasiswa berkenaan masing-masing tiga pelajar pada 2005, 2006 dan 2011, lima pelajar (2007, 2009, 2010 dan tahun ini) serta 10 pelajar pada 2008.

Wardah Shafiqah, adalah anak kedua daripada empat beradik kepada pasangan Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Johor, Dr Mohammad Fadil Abdul Wahab, 46, dan bekas akauntan Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji), Nora Asimah Sabran, 46.

Mengenai rahsia kejayaannya, beliau mengamalkan pembelajaran lewat malam sambil mendengar muzik sebagai halwa telinga, selain mengikuti jadual belajar ditetapkan serta membuat kerja rumah di sekolah berasrama penuh iaitu waktu petang dan malam.

“Bagaimanapun, setiap pelajar mempunyai cara tersendiri untuk belajar dan ini terpulang kepada keserasian diri masing-masing,” katanya yang masih terkilan kerana gagal memperoleh A+ subjek Bahasa Malaysia untuk membolehkannya merangkul semua A+ dalam peperiksaan itu.

Dalam pada itu, Adnan Zikri yang memperoleh 11A+ berhasrat melanjutkan pengajian dalam Pengajian Islam dan Arab di Universiti Oxford, United Kingdom (UK) untuk memudahkannya membuat kajian Islam di Timur dan Barat.

Turga yang memperoleh 9A+ mahu mengikuti pengajian dalam bidang Kejuruteraan Alam Sekitar pula pada awalnya terkejut dengan tawaran Biasiswa Kijang Emas yang mirip jata Kelantan serta tidak menyangka ia dianugerahkan BNM.

- BERITA HARIAN
 
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url