Top Ad 728x90

,

Diskaun caj hospital bagi warga emas

Berkuat kuasa 1 Mei ini, warga tua berusia 60 tahun ke atas diberikan diskaun 50 peratus bagi caj pesakit kelas tiga hospital kerajaan dengan caj maksimum sebanyak RM250 saja bagi setiap kemasukan.

Selain itu, mereka dikecualikan daripada caj RM5 pendaftaran rawatan pakar di Jabatan Pesakit Luar Pakar semua hospital dan klinik kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, mengumumkan semalam sebagai tambahan pemansuhan caj pendaftaran pesakit luar RM1 kepada golongan berkenaan di semua hospital, klinik kesihatan dan Klinik 1Malaysia yang diumumkannya tahun lalu.

“Pengecualian tambahan itu menunjukkan keprihatinan dan komitmen berterusan kerajaan menjaga kebajikan warga emas,” katanya ketika merasmikan Pusat Bersalin Berisiko Rendah 1Malaysia, di sini.

Hadir sama Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Mengenai pusat bersalin yang mula beroperasi pada 30 Januari lalu, Najib berkata, ia menawarkan perkhidmatan kelas satu dengan kadar bayaran serendah RM3.

“Kadar bayaran yang dikenakan amat minimum termasuk rawatan doktor, sewa bilik, ubat dan makanan. Ini adalah kadar yang terbaik di dunia kerana kemudahannya sangat bermutu tinggi dengan bilik yang bersih dan selesa tetapi bayaran sangat rendah.

“Ia juga mampu memberikan keselesaan dan persekitaran kondusif kepada ibu berisiko rendah untuk bersalin kerana suami dibenarkan menemani pasangan masing-masing, selaras dengan polisi Hospital Putrajaya yang mengamalkan konsep hospital mesra suami,” katanya.

Ibu berisiko rendah bersalin merujuk kepada mereka yang tidak ada komplikasi kandungan, penyakit seperti darah tinggi, kencing manis atau asma selain mengandung anak kedua ke atas.

Najib berkata, pusat berharga RM12 juta itu dilengkapi pelbagai kemudahan seperti dewan bersalin berhawa dingin, pusat saringan pesakit, bilik untuk pesakit antenatal dan postnatal serta 24 katil untuk ‘rooming in’ bagi pesakit pediatrik bersama penjaga mereka.

“Penubuhan pusat ini satu lagi usaha kerajaan menyediakan infrastruktur selesa kepada rakyat. Ia bukti kerajaan sentiasa peka dan prihatin mendengar denyut nadi rakyat Malaysia,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Najib mengumumkan kerajaan akan mewujudkan 50 lagi Klinik 1Malaysia tahun ini sebagai tambahan kepada 100 yang sudah beroperasi.

INFO: Kemudahan rawatan untuk warga tua
- 50 peratus diskaun bagi caj pesakit kelas tiga
- Caj maksimum RM250 bagi setiap kemasukan
- Pemansuhan caj RM5 pendaftaran rawatan pakar Jabatan Pesakit Luar Pakar hospital dan klinik kerajaan.

- BERITA HARIAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90