Top Ad 728x90

,

U-Costoms Mantapkan Sistem Perkhidmatan Jabatan Kastam

Jabatan Kastam Diraja Malaysia akan memperkenalkan sistem elektronik komprehensif dan mampan yang dikenali sebagai 'Ubiquitous Customs' atau U-Customs bagi menggantikan Sistem Maklumat Kastam (SKM) yang diperkenalkan 17 tahun yang lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf berkata U-Customs yang akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang Oktober 2014 akan menepati standard antarabangsa dengan memantapkan fasiliti perdagangan dan prosedur perkastaman secara menyeluruh.

Katanya U-Customs akan dapat mengurangkan ketirisan hasil kastam daripada 18 peratus kepada 15 peratus menjelang 2015 seperti yang ditetapkan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bagi negara maju dan 20 peratus bagi negara-negara membangun.

Beliau yakin hasil kutipan kastam akan meningkat dengan pelaksanaan sistem baharu itu selain memenuhi kehendak dan tuntutan sektor pedagang serta industri.

"Kerajaan telah membuat keputusan supaya sistem maklumat kastam sekarang yang dianggap tidak begitu cekap dan efisien malah tidak berupaya menampung isu-isu berkaitan dengan ketirisan hasil, digantikan," katanya pada sidang media selepas melancarkan projek 'U-Customs...The Way Forward', di Putrajaya.

Menurutnya selain aktiviti penyeludupan dan penipuan komersial, ketiadaan sistem elektronik yang mantap telah dikenal pasti antara punca utama berlakunya ketirisan hasil.

"Sistem ini membolehkan data terkini berkaitan dengan maklumat perkapalan dan pengikraran dagangan import/eksport dikongsi bersama oleh 'authorised partners' melalui web services. Ianya juga boleh membantu proses pengauditan dan penarafan risiko barangan serta profil pengimport/pengeksport di dalam sistem pengurusan risiko," katanya.

Sistem U-Customs dibangunkan oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dan masih dalam peringkat pembangunan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MAMPU Datuk Mohamed Zabidi Zainal berkata U-Customs mampu mengoptimumkan pengurusan fasiliti perdagangan dan kawalan keselamatan perdagangan sempadan yang mudah, cekap dan mesra dengan kos yang berbaloi sepertimana yang dibuktikan oleh Korea Selatan.

"Hasilnya jumlah perdagangan Korea Selatan telah meningkat lebih 12 kali ganda daripada USD11.3 bilion pada 1974 kepada USD134.9 bilion pada 1990," katanya.

Katanya urusan perkastaman yang dilaksanakan secara semi automatik atau semi ICT di negara ini menyebabkan berlakunya ketirisan dengan mudah, produktiviti tidak ditingkatkan, jumlah modal insan bertambah dan hasil negara tidak dikutip dengan sebaik-baiknya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90