Kekuatan doa bendung perlakuan buruk anak

Oleh Muhammad Abdullah @ Ab Shatar

SEJAUH manakah ibu bapa membiasakan amalan berdoa kepada Allah supaya dilindungi anak mereka daripada malapetaka serta terpelihara akidah, solat, sahsiah selain sentiasa di bawah pengawasan Allah SWT.

Kekuatan doa dijelaskan dalam al-Quran dan hadis bagi menghalang sebarang keburukan, bala bencana dan takdir malang menimpa. Lebih-lebih lagi doa ibu bapa terhadap anak sangat mustajab dan cepat diperkenankan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Tiga jenis doa yang pasti akan dikabulkan, tanpa diragui lagi iaitu doa orang dizalimi, doa orang sedang dalam perjalanan (musafir) dan doa orang tua ke atas anaknya.” (Hadis riwayat al-Tirmizi)

Perhubungan manusia dengan Allah berlaku dalam ibadat solat serta amalan sunat seperti berzikir, bersedekah, menyertai majlis ilmu dan lain-lain. Berdoa adalah pergantungan manusia kepada Allah SWT.

Peranan ibu bapa dalam memastikan anak gadis tidak terjebak dengan fenomena lari dari rumah kerana terpedaya cinta, kehidupan liar, gaya hidup terlampau dan sebagainya mempunyai hubung kait dengan kekuatan berdoa kepada Allah serta sejauh mana diamalkan dalam kehidupan harian.

Pendidikan agama perlu ditanam dalam hati anak melalui usaha membawa mereka menghadiri kuliah agama di masjid atau bersama menonton program ceramah agama di televisyen selain memperuntukkan bajet membeli bahan bacaan ilmiah bermutu kepada anak.

Perhatian ibu bapa terhadap soal ibadat fardu anak dan asas kefahaman terhadap ajaran agama secara mendalam dapat membendung kecenderungan daripada bersikap derhaka atau terpengaruh dengan kehidupan melekakan.
Tidak dinafikan kebebasan diberikan kepada anak menyebabkan berlaku pergaulan bebas lelaki dan wanita yang menjurus kepada pelbagai gejala tidak sihat. Mudah sekali untuk kita melihat remaja lelaki dan perempuan masih berlegar walaupun hari sudah larut malam.

Ini menimbulkan persoalan di manakah ibu bapa mereka dan apakah keluarga tahu kegiatan anak remaja mereka yang masih tidak pulang rumah sedangkan sepatutnya waktu itu mereka berada bersama keluarga.

Kecuaian serta kealpaan masyarakat menangani persoalan itu menyebabkan berlaku perkara tidak sepatutnya seperti dilaporkan media massa mengenai pelajar ditangkap khalwat, menunggang motosikal tanpa lesen atau berpeleseran di pusat hiburan.

Selain digalakkan berdoa untuk kesejahteraan anak, ibu apa juga perlu menjalankan tanggungjawab mendidik serta mengawasi mereka supaya tidak tersasar daripada landasan kehidupan berpandukan al-Quran dan sunnah Rasulullah SAW.

Doa harapan terakhir selepas tanggungjawab dipenuhi dan usaha dilakukan untuk memastikan anak sentiasa terpelihara daripada perkara tidak diingini. Ibu bapa perlu bertawakal dengan berdoa kepada Allah demi kesejahteraan anak mereka.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan Tuhanmu berfirman: Berdoalah kepada-Ku, nescaya Aku akan perkenankan doa permohonan mu.” (Surah al-Mu'min, ayat 60)

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url