e-pembelajaran guru.net.my tingkatkan prestasi akademik


PENYELIA dan pembimbing Terminal Sejahtera tajaan Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar (KWPKB) di Muar, Johor dan Bentong, Pahang, yakin pengisian e-pembelajaran guru.net.my dapat meningkatkan proses pembelajaran pelajar. Sasaran kepada calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), tahun ini, memberi latihan berterusan secara dalam talian.

Penyelia Terminal Sejahtera Majlis Perbandaran Muar (MPM), Norhasnita Mohd Lip, berkata pelajar mudah mengikuti ulang kaji mata pelajaran dalam waktu sekolah dengan menggunakan modul guru.net.my.

“Saya dapati modul yang diperkenalkan mudah difahami kerana dilengkapi latih tubi serta nota ringkas dan padat.

“Perisian guru.net.my sesuai untuk pelajar bagi mengukuhkan persediaan menghadapi peperiksaan,” katanya ketika ditemui selepas mengikuti kursus penggunaan guru.net.my di Muar, Johor, baru-baru ini.

Kursus dikendalikan fasilitator guru.net.my dihadiri tujuh penyelia dan pembimbing dari Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan MPM diadakan bagi membolehkan pelajar terpilih dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah di kawasan perbandaran berkenaan mengikuti kelas tuisyen di Terminal Sejahtera.

Pusat tuisyen berkenaan dilengkapi makmal komputer dan bilik tutorial yang selesa bagi membantu pelajar meningkatkan prestasi akademik melalui program pembelajaran secara dalam talian.

Sementara itu, pembimbing Terminal Sejahtera MPM, Nor Hafizah Aris, berkata guru.net.my menyediakan pengalaman pembelajaran menarik menggabungkan program interaktif dan mesra pengguna.

“Saya mencuba pengisian ini dan seronok meneroka latihan yang disediakan,” katanya yang juga guru Sekolah Kebangsaan Ismail (1), Muar.

Penyelia MPB, Muhammad Syafiq Musleh Hassan, berkata pelajar yang menggunakan guru.net.my secara berterusan mampu meningkatkan prestasi akademik.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url