Pemilihan calon ke UPNM telus
Pegawai Kanan Pemilihan Anggota, Cawangan Tenaga Kerja Markas ATM, Mejar Abd. Hamid Maarus berkata, faktor utama yang diberikan perhatian dalam proses pemilihan calon pegawai kadet adalah pencapaian akademik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Selain itu, katanya, setiap pemohon juga perlu lulus beberapa siri ujian termasuk pemeriksaan perubatan, latihan fizikal dan bertulis yang dijalankan serentak di lima lokasi seluruh negara pada 14 April dan berakhir hari ini.
"Tiada diskriminasi dalam pemilihan calon, siapa yang layak dan menepati syarat yang ditetapkan dan lulus ujian pasti akan dipilih untuk mengikuti pengajian di UPNM," katanya selepas perbarisan pelantikan kadet UPNM sesi pengajian 2012/2013 di Kem Terendak, di Melaka.
Sementara itu, calon yang terpilih melanjutkan pengajian ke UPNM, Chan Jun Kwan, 18, menyifatkan ATM adalah kerjaya yang tidak mengamalkan pilih kasih dan setiap calon yang layak pasti mendapat tempat.
"Saya tidak menghadapi sebarang masalah ketika menjalani latihan pengambilan, hubungan antara kaum juga erat dan saling bantu-membantu antara satu sama lain," katanya.
Beliau yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu merupakan satu-satunya calon yang bakal dihantar melanjutkan pengajian dalam jurusan Kejuruteraan Pertahanan di United State Naval Academy (USNA), Amerika Syarikat melalui UPNM.
P. Kugaanesan, 18, yang berasal dari Sitiawan, Perak pula berkata, dia sangat gembira kerana menjadi salah seorang calon yang terpilih untuk melanjutkan pengajian di UPNM dalam jurusan Kejuruteraan Pertahanan.
"Sudah pastinya saya gembira kerana daripada ribuan calon yang memohon, saya merupakan sebilangan kecil yang terpilih dan berjanji akan menjadi seorang pegawai tentera yang terbaik," katanya.
Calon tunggal Orang Asli, Nurul Sazrina Nawir, 18, pula melahirkan rasa syukur kerana dipilih melanjutkan ke UPNM dan ia membuktikan masyarakat Orang Asli tidak dipinggirkan dalam apa juga bidang.
Dia yang berasal dari Kampung Peta, Johor menyimpan hasrat untuk menjadi seorang pegawai tentera yang disegani suatu hari ini.
- UTUSAN