Polis Pelancong akan tampil sebagai Unit Polis Elit

Polis Pelancong yang ditugaskan di kawasan 'Golden Triangle' di Kuala Lumpur akan tampil sebagai unit polis elit yang cekap berkomunikasi dengan pelancong asing, selain menjalankan tugas biasa kepolisan.

Mengumumkan demikian, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh berkata, ini adalah salah satu usaha bagi mewujudkan status antarabangsa bagi pasukan polis negara ini, dan Kuala Lumpur akan menjadi perintis program tersebut.

Untuk itu, kata beliau, polis pelancong yang kini berjumlah kira-kira 100 orang perlu mempunyai kemampuan untuk berkomunikasi lebih dari dua bahasa.

"Sebagai contoh, pada bulan Jun hingga Ogos kita banyak terima pelancong dari Timur Tengah, oleh itu kita hendak sebilangan polis pelancong boleh berkomunikasi dalam bahasa Arab," katanya.

"Untuk mereka dilihat lebih elit, mereka harus mempunyai kualiti pendidikan akademik, serta mempunyai latihan seperti latihan berbahasa," katanya dalam program bual bicara bersama Bernama Radio24 'Dalam Radar', di sini, Rabu.

Beliau berkata langkah ini juga akan dapat memastikan pelancong diberi kawalan keselamatan yang memuaskan.

Mengenai 'konsep Bandar Selamat', Mohmad berkata sudah tiba masanya kerjasama pihak polis dan Jabatan Perancangan Bandar dan Desa diadakan untuk menetapkan satu 'Standard Operating Procedure' (SOP) bagi pemasangan Kamera Litar Tertutup (CCTV).

"Masalah sekarang ialah walaupun CCTV sudah dipasang di premis-premis seperti bank, kedai emas, namun kesedaran masyarakat awam mengenainya masih rendah, dimana mereka tidak menyelenggara kamera tersebut dengan baik.

"Ini menyebabkan bila berlaku sesuatu kes, siasatan sukar dijalankan kerana CCTV tidak berfungsi," katanya.

Mengenai jumlah anggota polis di Kuala Lumpur, katanya untuk mencapai taraf kepolisan antarabangsa, nisbah yang ideal ialah 1:300 hingga 1:500, sedangkan nisbah kini ialah 1:1,500.

"Dengan bantuan kereta peronda (MPV) dan motosikal yang mencukupi, kita rasa nisbah tersebut tidak menjadi masalah," katanya.

Beliau berkata, di Kuala Lumpur hanya terdapat kira-kira 8,000 anggota polis dan diharapkan apabila program kepolisan bertaraf antarabangsa tercapai jumlah tersebut akan meningkat kepada lebih 10,000.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url