Top Ad 728x90

, ,

SPR Tidak Ubah Sempadan Tapi Perbetulkan Lokaliti - SPR

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak pernah melakukan perubahan terhadap sempadan kawasan pilihan raya, tetapi hanya membetulkan lokaliti pemilih yang tersalah letak sebelum ini.

Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata SPR menyedari kedudukan beberapa lokaliti yang tersalah letak di dalam bahagian pilihan raya hanya selepas penggunaan Sistem EGIS (Sistem Maklumat Geografi Pemilih) pada 2004.

"Oleh kerana kedudukan lokaliti berkenaan telah tersalah letak maka selaras peruntukan undang-undang, SPR perlu membetulkan kedudukan lokaliti tersebut di dalam bahagian pilihan raya yang sepatutnya pemilih di dalam lokaliti berkenaan didaftarkan," katanya.

Beliau menjawab dakwaan bahawa SPR telah sengaja membetulkan sempadan kawasan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen tanpa kelulusan Parlimen bertujuan meramaikan pengundi di satu-satu kawasan bagi membolehkan Barisan Nasional beroleh kemenangan pada pilihan raya umum (PRU) ke-13.

Jawapan itu terkandung di dalam buku yang dikeluarkan SPR bertajuk 'Fakta Sebenar Di sebalik Dakwaan dan Fitnah Terhadap SPR' dan diedarkan kepada media bagi menjawab 12 dakwaan pihak tertentu. Untuk rekod, lokaliti bermaksud unit yang paling kecil yang terdapat dalam daerah mengundi dan ia mempunyai sejumlah pemilih dan alamat masing-masing.

Abdul Aziz berkata berkata langkah membetulkan lokaliti itu membabitkan 19,342 pemilih di seluruh negara. "Pemilih-pemilih mengikut lokaliti-lokaliti berkenaan perlu ditempatkan di dalam kawasan pilihan raya yang sebenarnya seperti yang wujud di lapangan," katanya.

Beliau berkata selepas pembetulan dilakukan, SPR memaklumkan secara rasmi melalui surat pemberitahuan yang dialamatkan kepada semua pemimpin parti politik di dalam bahagian-bahagian pilihan raya yang berkenaan.

"Kita beranggapan parti-parti politik melalui pemimpin-pemimpin mereka di peringkat daerah mengundi dan DUN menyedari tindakan SPR tersebut dan seterusnya memaklumkan kepada pemilih-pemilih yang terlibat di kawasan masing-masing," katanya. Bagaimanapun kata Abdul Aziz, ramai pemilih memaklumkan kepada SPR mereka tidak tahu berlaku pembetulan lokaliti.

"Jadi untuk PRU-13,SPR akan menulis surat pemberitahuan perkara tersebut kepada semua pemilih yang terlibat di semua kawasan yang berkenaan di seluruh negara," katanya.

Abdul Aziz berkata perubahan sempadan kawasan atau bahagian pilihan raya hanya dapat dilakukan apabila tiba masanya mengikut peruntukan Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan, dan SPR akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung dengan perkara itu.

SPR turut menyangkal dakwaan bahawa kawasan mengundi Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah dipindahkan secara tidak sah, sebaliknya nama beliau juga terbabit dalam proses pembetulan lokaliti.

Abdul Aziz berkata SPR telah memberi penjelasan terperinci berhubung perkara itu, namun isu tersebut terus diputar belit untuk mengelirukan orang ramai yang tidak faham tentang isu pembetulan kedudukan lokaliti.

Apa berlaku sebenarnya ialah SPR hanya membuat pembetulan kedudukan lokaliti yang telah tersalah letak di dalam kawasan pilihan raya yang mana proses itu dijalankan mengikut Peruntukan sub peraturan 25(3) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih 2002), katanya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90