Hayati Etika Pekerja

Oleh Wan Mohd Ruzlan Wan Omar

PELBAGAI acara dianjurkan untuk meraikan sambutan Hari Pekerja sebagai menghargai sumbangan serta jasa pekerja. Ia juga menzahirkan penghormatan terhadap pekerja di segenap peringkat yang selama ini banyak menyumbang ke arah kelangsungan pembangunan negara.

Bekerja demi mencari nafkah diri dan ahli keluarga termasuk dalam amal ibadat dianjurkan agama. Malah orang yang bekerja dipandang mulia di sisi Allah, tetapi untuk memperoleh janji Allah bagi keberkatan rezeki atau ganjaran pahala, kita perlu menepati piawai kualiti kerja digariskan agama.

Setiap pekerjaan perlu bermula dengan niat yang ikhlas kerana Allah seperti sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa dan harta kamu, tetapi Allah hanya memandang kepada niat hati dan amalan kamu.” (Hadis riwayat Muslim)

Baginda seterusnya berpesan lagi yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak menerima sesuatu amalan itu melainkan ia dilakukan dengan ikhlas (jujur) semata-mata kerana-Nya saja.” (Hadis riwayat An-Nasa’i)

Daripada dua peringatan Rasulullah SAW, jelas kepada kita bahawa memulakan gerakan sesuatu pekerjaan mesti dititik mulakan dengan niat ikhlas kepada Allah. Sesungguhnya niat yang bersih suci kerana Allah akan memancarkan daya usaha yang bersungguh-sungguh serta komited.

Ciri kedua harus dimiliki setiap pekerja ialah nilai integriti yang akan menerbitkan sikap amanah menjalankan sesuatu kerja. Sikap ini jika dipelihara dan diterjemahkan dalam pekerjaan akan membawa kejayaan serta kepercayaan.
Agama meletakkan amanah pada kedudukan tertinggi apabila melakukan sesuatu tanggungjawab seperti firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menunaikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di kalangan kamu hendaklah menetapkannya dengan adil dan saksama. Sesungguhnya Allah memberikan peringatan yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah an-Nisa’, ayat 58)

Rasulullah SAW berpesan supaya tidak mengkhianati akujanji atau amanah yang diberikan kerana apabila seseorang lupa amanah yang terpikul di bahunya, maka mereka mudah terpesong daripada landasan etika kerja sepatutnya.

Maka terjadilah pecah amanah ketika melaksanakan tugas dan berlaku perkara yang bersalahan kehendak agama. Banyak kes seperti rasuah, ponteng kerja, menyalahgunakan kemudahan kerja untuk tujuan peribadi berpunca daripada lunturnya nilai amanah dalam diri.

Rasulullah SAW dengan tegas menyatakan: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepada kamu dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianati kamu.” (Hadis riwayat Abu Daud dan at-Tirmidzi)

Tidak konsisten menjalankan sesuatu tugas juga dikira sebagai tidak amanah dan menyalahi etika kerja Islam. Dalam Fatawa Lil Mawazhzafin wal ‘Umat yang ditulis Syeikh Ibnu Baz menyatakan, status gaji pekerja yang tidak konsisten dan tidak melaksanakan tugas secara sempurna dikira sebagai syubhah.

Katanya lagi, seharusnya seseorang itu takut kepada Allah dan bersungguh-sungguh ketika menjalankan tugasnya sehingga gajinya tidak mengandungi syubhah.

Wajib melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan dengan sempurna supaya gaji diterima halal. Jika tidak, maka status sebahagian gajinya haram. Justeru, hendaklah seseorang itu sentiasa berwaspada dan bertakwa kepada Allah.

Komited terhadap tugas adalah satu perintah agama dan kita tidak boleh memandang remeh isu sebegini kerana ia membabitkan urusan gaji sama ada halal atau haram yang kita terima setiap akhir bulan.

Bagaimana halnya jika ada yang terbabit dengan penyalahgunaan kenderaan atau kemudahan syarikat ketika bekerja? Dalam merungkai permasalahan ini ada baiknya kita teliti apa yang terkandung dalam Fatawa Lil Muwazhzhafin wal ‘Ummah, ditulis Syeikh Ibnu Jibrin.

Katanya, pekerja yang bekerja dengan kerajaan atau syarikat adalah pekerja yang diupah. Dia diberikan amanah untuk memegang tugas diserahkan kepadanya. Dia juga diamanahkan dengan pelbagai kemudahan untuk melaksanakan tugas, maka dia tidak boleh menggunakannya kecuali ketika bertugas atau untuk kepentingan kerja yang diserahkan kepadanya saja.

Justeru, seseorang pekerja tidak boleh menggunakan kenderaan syarikat atau kerajaan untuk keperluan urusan peribadinya. Demikian juga segala peralatan di pejabat dilarang sama sekali digunakan untuk urusan peribadi yang di luar bidang tugas.

Demikian juga dalam isu menggunakan tenaga pekerja untuk melakukan urusan peribadi seperti mengarahkan pemandu syarikat membawa dan menguruskan keperluan sendiri yang tiada kaitan dengan tugas.

Syeikh al-Fauzan dalam Kitab ad-Da’wah berkata, seseorang itu tidak boleh menggunakan pekerja, pemandu milik syarikat atau pejabat kerajaan untuk keperluan peribadi, kerana menyuruh melakukan sesuatu di luar bidang tugasan mereka adalah unsur kezaliman.

Sebagai seorang pekerja kita wajib pada setiap masa menekankan aspek niat yang ikhlas kerana Allah, beramanah, sentiasa bekerja kuat dan penuh komited dalam menjalankan tugas diberikan.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url