Kajian jaringan sosial di Internet

Firma penyelidikan, Universal McCann Malaysia (UniMc) mendapati rakyat Malaysia terutamanya golongan berumur 45 hingga 54 tahun semakin selesa berkongsi data peribadi masing-masing menggunakan jaringan sosial.

Menurut kajian itu, jaringan sosial kini telah menjadi sebahagian yang penting dalam kehidupan mereka.

Kajian itu turut mendapati rakyat Malaysia merupakan antara yang mempunyai rangkaian kenalan terbesar di dunia dan sering memanfaatkan media sosial untuk berhubung dengan rakan dan keluarga.

“Malaysia, dengan kadar penembusan Internet sebanyak 22 peratus adalah juga antara negara yang paling pantas menerima pakai teknologi tablet," kata McCann.

Hasil kajian itu didedahkan baru-baru ini melalui hasil kajian Wave yang keenam, yang mengukur skala dan impak media sosial seluruh dunia.

Hasil kajian itu membawa kepada penemuan beberapa mesej kritikal untuk komuniti perniagaan kini.

Menurut kajian Wave itu lagi, pengguna dari semua golongan usia melihat laman web jenama sebagai bersifat satu dimensi dan sebaliknya lebih menyukai interaksi yang memberikan maklum balas terhadap isu jenama serta menjawab aduan pelanggan.

“Jaringan sosial bukan lagi terbatas kepada media sahaja, malah merangkumi pemasaran dan perniagaan.

“Jaringan sosial juga membawa transformasi kepada cara jenama membuat inovasi produk, meningkatkan kefahaman, meluaskan komunikasi, mengumpul maklum balas serta melibatkan komuniti," ujarnya.

Sementara itu, Presiden Serantau World Markets Asia dan Ketua Pegawai Eksekutif UniMc Malaysia, Prashant Kumar berkata, jaringan sosial baharu, Facebook kini menjadi tempat berbual yang popular.

Katanya, YouTube pula boleh diibaratkan sebagai dataran bandar yang baharu.

Kajian Wave itu katanya, meneroka segala yang berkaitan sosial, mendedahkan bahawa syarikat perlu membangunkan strategi media sosial yang lebih canggih bagi mencapai objektif komersial khusus untuk mendekati komuniti jaringan sosial yang semakin berkembang luas.

Jelasnya, jenama juga boleh meraih rasa hormat dan kesetiaan pengguna sekiranya mereka menawarkan maklum balas peribadi kepada aduan pengguna.

Kajian tersebut turut meneroka bagaimana pengguna dari 62 negara menggunakan jaringan sosial seperti Facebook dan Twitter untuk berinteraksi dengan jenama.

Kajian itu turut mengkaji apa yang pengguna ingin dan harapkan daripada pengalaman mereka menggunakan jaringan sosial tersebut.

Kajian juga menunjukkan mengapa mereka gemar meluangkan lebih masa dengan jenama tertentu, apa yang membuatkan mereka rasa dihargai sebagai pelanggan dan insentif yang menggalakkan mereka untuk mengesyorkan jenama tersebut kepada orang lain.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url