Sejarah Kuala Nerus yang bakal menjadi daerah baru
Dialah yang selayaknya menceritakan kisah silam Kuala Nerus kerana sepanjang rentetan usianya dia melihat, merasai dan berada dalam setiap perkembangan suasana setempat serta perubahan yang berlaku.
Dia tidak menjangkakan perubahan sepesat sekarang berserta pelbagai kemudahan yang tersedia untuk kehidupan yang lebih sejahtera dan selesa bagi penduduk setempat.
Baginya, kemudahan yang wujud memberi ruang dan peluang bagi sesiapa yang berusaha mengubah nasib dan kehidupan ke arah yang lebih baik.
''Suatu ketika dulu penempatan penduduk Kuala Nerus yang terletak di kawasan Kuala Terengganu utara dipisahkan dengan kawasan bandar oleh sungai. Feri dan bot penambang yang berpusat di Bukit Datu merupakan pengangkutan utama, selain jambatan kecil di Manir untuk kemudahan berulang-alik ke bandar.
"Dulu percuma sahaja naik feri. Kalau bawa kenderaan barulah dikenakan RM5, kalau naik bot dikenakan 10 sen sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Tok Jiring, dekat sini hari ini.
Ujarnya, jika digambarkan Kuala Nerus 40 tahun dahulu, ia hanyalah suatu kawasan tanah merah yang merentasi paya, semak-samun dan belukar.
''Usah kata ada bangunan bertingkat, rumah pun susah hendak dicari ketika itu, namun semuanya telah berubah apabila kepesatan pembangunan di Kuala Nerus semakin rancak sejak lebih 10 tahun lalu,'' katanya.
Jelasnya, pembinaan Jambatan Sultan Mahmud pada tahun 1988 dan dirasmikan dua tahun kemudiannya ternyata memberi nafas baru bagi Kuala Nerus meskipun kerajaan ketika itu ditentang hebat oleh pembangkang.
"Kerajaan dituduh boros dan membazirkan wang kerana membina jambatan panjang merentasi kawasan muara melibatkan kos yang tinggi ketika itu.
"Dahulu, dari Seberang Takir (kawasan terdekat) penduduk di situ terpaksa berkenderaan 14 kilometer ke bandar raya tetapi kini dapat disingkatkan kepada tujuh kilometer,'' katanya.
Namun, menurutnya, jambatan empat lorong itu ternyata sesak kini dan ia mencerminkan kepesatan yang berlaku sehingga mendorong kerajaan merancang untuk membina satu lagi jambatan penghubung yang bakal memendekkan jarak kepada 2 kilometer.
Seorang lagi penduduk di Gong Badak, Ibrahim Mamat, 60, berkata, beberapa dekad lalu, nilai tanah di sini cukup rendah, malah ada yang menjualnya dengan harga begitu murah kerana bagi mereka 'tiada apa-apa di sini'.
Ibrahim yang masih mengekalkan tanah pusaka menceritakan, kini satu lot sudah mencecah sekitar RM100,000, malah ada kawasan tertentu seekar mampu mencapai sehingga RM1 juta.
''Tidakkah ini suatu yang cukup baik, dengan nilai tanah yang begitu tinggi, terserahlah kepada kita bagi manfaatkannya. Susah senang terletak kepada kita sendiri," ujarnya.
Katanya, kepesatan pembangunan yang berlaku menyebabkan beberapa kawasan penempatan terjejas dilanda banjir kilat, bagaimanapun kerajaan negeri berjaya menangani dengan mengerakkan projek-projek saliran.
Pada awalnya kawasan perindustrian dijadikan pemangkin kepada kegiatan ekonomi di kawasan Parlimen Kuala Nerus tetapi ia turut berkembang sebagai sebuah pusat pendidikan dan kawasan penempatan baru dengan kewujudan taman-taman perumahan.
Di Kuala Nerus, terdapat dua buah universiti iaitu Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Mizan Zainal Abidin (UniSZA) di samping Maktab Perguruan Kuala Terengganu, Maktab Rendah Sains Mara, Sekolah Menengah Teknik dan Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud.
Di samping itu, terdapat Kolej Kesihatan Awam di samping Institut Teknologi Petroleum Petronas dan Institut Latihan Perindustrian, selain Kompleks Sukan negeri berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud yang bertaraf antarabangsa.
Sejajar dengan kepesatan Kuala Nerus dari segi pembangunan dan pertumbuhan penduduk, para pemimpin setempat berusaha meyakinkan kerajaan agar Kuala Nerus dijadikan suatu daerah baru iaitu kelapan bagi negeri ini.
Ahli Parlimennya, Datuk Mohd. Nasir Ibrahim Fikri berkata, justeru, kerajaan negeri telah meluluskan tapak seluas 200 hektar di Gong Badak dan kerja-kerja tanah bakal dimulakan tidak lama lagi membabitkan kos berjumlah RM20 juta.
Menurutnya, pada peringkat pertama, di kawasan seluas 100 hektar akan melibatkan kerja-kerja pembinaan tapak bangunan, sistem perparitan dan kolam takungan serta jaringan jalan raya akan dibina.
''Kewujudan daerah baru melibatkan kawasan seluas 39,890 hektar yang bakal memberi impak besar bagi masa depan penduduk.
''Selain itu, akan wujud pusat pentadbiran baru dengan pusat bandar bersama dengan peluang pekerjaan yang lebih luas di samping mencetuskan pelbagai lagi kegiatan ekonomi dan meningkatkan nilai hartanah milik penduduk dengan ketara.
"Peruntukan khas tahunan membolehkan perancangan lebih besar pula dijayakan bagi menyediakan pelbagai prasarana yang lebih lengkap dan mutu perkhidmatan lebih baik," kata Mohd Nasir.
Menurutnya, ia bakal menjadi model pembangunan contoh sebuah bandar baru yang tersusun, mesra alam dan reka bentuk bandar masa depan dengan infrastruktur terbaik seperti jalan enam lorong dan landskap 'bandar dalam taman'.
Katanya, perkembangan terbaru ini harus disedari dan dihadapi termasuk mempersiapkan anak-anak tempatan dengan kemahiran dan ilmu menghadapi ledakan pembangunan agar mereka dapat memanfaatkan segala peluang.
''Masih banyak yang perlu dilakukan dan kita akan berusaha memberi penjelasan kepada masyarakat agar mereka tidak mensia-siakan peluang yang bakal wujud dan bagaimana mereka boleh turut serta," ujarnya.
Menurutnya, beliau bersama kerajaan akan terus berusaha agar segala projek yang dirancang memberi kesan menyeluruh kepada rakyat di peringkat bawah.
Tanpa mempedulikan sama ada kawasan dikuasai pembangkang atau tidak, perhatian akan diberikan, katanya yang antara lain merujuk kepada pembinaan pasar baru Bukit Tunggal di samping kemudahan-kemudahan jeti nelayan dan projek-projek perumahan untuk rakyat.
Katanya, pada masa ini sahaja sebanyak 14 projek kecil termasuk menaik taraf jalan, baik pulih jambatan dan jeti, pembinaan dewan-dewan serbaguna, bangunan persatuan-persatuan kebajikan sedang diusahakan.
''Gelombang perubahan ini tidak harus dihentikan. Saya akan terus berusaha bersama para pemimpin lain membantu menyediakan peluang demi masa depan lebih baik untuk rakyat," ujarnya.
- UTUSAN