Sime Darby dan Kelantan ke Final Piala FA 2012


KELANTAN dan Sime Darby FC melangkah ke final Piala FA 2012.

Sime Darby mara dengan kelebihan agregat 2-1 selepas terikat seri tanpa jaringan dengan Terengganu pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Selayang malam tadi.

Kelebihan agregat tersebut diperoleh hasil kemenangan 2-1 pada aksi separuh akhir pertama di Kuala Terengganu minggu lalu.

Kelantan pula melangkah bergaya selepas mencatat keputusan 2-2 dengan Kedah pada aksi di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam tadi sekali gus mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Pada aksi pertama minggu lalu, kedua-dua pasukan turut mencatat keputusan seri 1-1.

Meskipun terikat dengan agregat 3-3 tetapi Kelantan mara dengan kelebihan jaringan di tempat lawan.

Kedah pernah beraksi di final Piala FA pada tahun 1996, 2007 dan 2008 dengan meraih gelaran sebagai juara, namun pada tahun 2010 mereka dihampakan Negeri Sembilan yang pada masa itu dibimbing Wan Jamak Wan Hassan.

Nasib ternyata tidak menyebelahi anak-anak buah pengendali yang berasal dari Johor itu berdasarkan perkiraan gol ditempat lawan menerusi agregat 3-3.

Kelebihan dua jaringan pada babak pertama menerusi jaringan penyerang licik, Mohd. Khyril Muhymeen Mohd. Zambri yang mampu memberi kelebihan kepada Kedah gagal dipertahankan sehingga wisel penamat.

Sebaliknya Kelantan bangkit menyamakan kedudukan menerusi pemain pertahanan, Obinna Nwaneri dan penyerang, Mahmoud Ghadar.

Kedua-dua pasukan yang mahu mencari jaringan awal sebagai gol semangat saling mengasak sebaik wisel dibunyikan pengadil perlawanan, M. Yusof Mat Karim.

Pasukan tuan rumah berpeluang mendahului menerusi Gerc pada minit ke-29, namun diselamatkan penjaga gol pelawat, Khairul Fahmi Che Mat.

Usaha skuad Kenari akhirnya berhasil menerusi sepakan percuma Ketua Pasukan, Baddrol Bakhtir yang dikuis cantik Mohd. Khyril Muhymeen pada minit ke-31.

Mohd. Khyril Muhymeen sekali lagi menceriakan lebih 30,000 penyokong skuad Hijau Kuning apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-42.

Pemain berjersi 18 itu menolak masuk hantaran Mohd. Fazliata Taib yang menerima hantaran Mohd. Khairul Helmi Johari daripada kawasan tengah padang untuk meletakkan pasukan tuan rumah selesa mendahului dua jaringan.

Skuad Kijang memulakan babak kedua dengan langkah kanan apabila berjaya merapatkan kedudukan menerusi pemain import, Obinna Nwaneri yang menanduk masuk bola hantaran sepakan sudut Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-47.

Mohd. Khyril Muhymeen yang berjaya melepasi pertahanan pasukan pelawat sekali lagi berpeluang melebarkan jaringan dua minit kemudian, namun sepakannya diselamatkan Khairul Fahmi.

Pasukan pelawat selepas itu menggandakan asakan dan akhirnya berjaya memperoleh gol penyamaan menerusi Mahmoud Ghadar pada minit-61.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
1 Comments
  • snf
    snf Rabu, 2 Mei 2012 pada 10:00:00 PG SGT

    go go Red Warriors!

Add Comment
comment url