Soal Jawab Agama : Bayar fidyah ganti puasa
SOALAN:
SAYA mengidap gastrik yang serius. Saya tidak dapat menggantikan puasa disebabkan penyakit yang dihidapi itu.
Bolehkah saya ganti dengan membayar fidyah saja? Jika sudah bayar fidyah perlukah untuk saya ganti puasa itu lagi?
JAWAPAN:
BERPUASA Ramadan adalah sebahagian daripada rukun Islam. Ia mempunyai banyak hikmah daripada pelbagai sudut termasuk kesihatan dan sebagainya.
Tujuan utama puasa adalah untuk mencapai ketakwaan kepada Allah. Kita hendaklah sedaya upaya melaksanakan kewajipan berpuasa ini.
Islam mengharuskan berbuka puasa bagi mereka yang sakit dan dalam musafir.
Mereka diwajibkan mengganti puasa yang tertinggal di hari-hari lain (Surah al-Baqarah, ayat 184).
Sekiranya tidak dapat menggantikannya kerana tidak berupaya langsung seperti sakit kuat dan sangat tua, wajib memberi fidyah makanan kepada seorang miskin setiap hari.
Puasa tidak perlu diganti. Sementara bagi penyakit gastrik pula, pesakit masih boleh berpuasa sekiranya penyakit itu tidak menyebabkan perubahan tabiat kepada kerosakan.
Menurut pembacaan umum saya, mereka yang ada penyakit gastrik masih lagi boleh berpuasa tanpa masalah jika mengamal kaedah pemakanan yang betul seperti dianjurkan Islam dan pakar pemakanan.
Antaranya seperti melambatkan bersahur, segera berbuka puasa dan makan secara sederhana, iaitu sedikit demi sedikit (lihat http://annehashim.com/gastrik-boleh-puasa/).
Begitulah dalam kes anda di atas. Bagaimanapun, apabila puasa membawa mudarat kepada diri bolehlah berbuka.
Sekiranya tidak dapat menggantikannya, bolehlah membayar fidyah seperti di atas.
Ada baiknya anda mendapat nasihat yang betul daripada doktor perubatan sebelum mengambil tindakan untuk tidak melaksanakan fardu puasa Ramadan.
Itulah keindahan Islam yang sentiasa meraikan maslahat seseorang Muslim.
- HARIAN METRO