Floria Putrajaya dari 30 Jun - 8 Julai 2012
Menurut satu kenyataan oleh Perbadanan Putrajaya di sini, hari ini, tema yang dipilih tahun ini iaitu bunga kertas atau Bougainvillea, di mana pertubuhan tempatan dan antarabangsa termasuk peserta dari International Orchid Society (IOS) akan menyertai pameran dalaman dan luaran manakala Arkitek Landskap mengambil tempat bagi membina taman pereka.
"Selain bunga-bungaan yang mempesona, pengunjung juga boleh mengambil bahagian dalam pelbagai kegiatan pada majlis itu termasuk bengkel, demonstrasi memasak dan berkebun, hiburan secara langsung, pertandingan fotografi dan juga melukis.
"Satu lagi tarikan di festival itu ialah perarakan bunga oleh Kementerian Pelancongan yang akan diadakan utuk kali kedua.
Bertemakan “Magic of the Night”, perarakan itu adalah pertunjukan bunga yang disertai pelbagai negara dan pertubuhan yang diarak di atas bot di sepanjang Tasik Putrajaya dengan berlatar belakang landskap Putrajaya,” menurut kenyataan itu.
Sambutan tahun kelima itu menjadikan Floria Putrajaya sebagai acara utama Putrajaya yang sejak beberapa tahun menarik pengunjung dari seluruh dunia dan meningkatkan sektor pelancongan negara semasa meraikan kecantikan estetika susunan bunga-bungaan yang dipamerkan semasa pertunjukan itu.
Majlis pelancaran awal akan diterajui oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, Khamis ini manakala pameran akan dibuka kepada orang ramai mulai 9 pagi hingga 10 malam pada Isnin hingga Khamis dan 9 pagi hingga 12 tengah malam pada Jumaat hingga Ahad.
— BERNAMA