Pekerja swasta bersara wajib 60 tahun
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam ketika membacakan rang undang-undang buat pertama kali berkata, majikan juga tidak boleh membersarakan secara pramasa seseorang pekerja yang belum mencapai umur persaraan minimum.
Bagaimanapun katanya, seseorang pekerja itu boleh bersara apabila mencapai umur persaraan pilihan yang telah dipersetujui dalam kontrak perkhidmatan atau perjanjian kolektif tetapi jika itu pilihannya, kontrak yang ditandatangani sebelum ini terbatal.
"Rang undang-undang ini turut memperincikan bahawa pekerja yang dibersarakan secara pramasa boleh mengadu secara bertulis kepada Ketua Pengarah Tenaga Kerja dalam tempoh 60 hari dari tarikh persaraan.
"Sekiranya aduan itu berasas, arahan boleh dikeluarkan kepada majikan untuk mengembalikan semula pekerja itu kepada pekerjaan asalnya dan membayar semula tunggakan gaji bermula dari tarikh pekerja itu dibersarakan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Tambah Subramaniam, sebagai pilihan, ketua pengarah juga boleh mengarah majikan membayar pampasan kepada pekerja itu tidak lebih daripada amaun keseluruhan gaji yang sepatutnya diterima dari tarikh dia dibersarakan sehingga tarikh pekerja tersebut mencapai umur persaraan wajib.
Tegas beliau, sekiranya arahan itu tidak dipatuhi, majikan boleh didenda tidak lebih RM10,000 jika disabitkan kesalahan tetapi ia tidak terpakai jika pekerja itu dibayar emolumen oleh kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, badan berkanun atau pihak berkuasa tempatan.
"Ia juga tidak terpakai bagi seseorang yang bekerja dalam tempoh percubaan, bukan warganegara, perkhidmatan domestik, seseorang yang waktu kerjanya kurang 70 peratus waktu bekerja biasa, pekerja sepenuh masa dan pelajar yang bekerja secara kontrak untuk tempoh sementara.
"Seseorang yang telah bersara pada umur 55 tahun atau lebih sebelum penguatkuasaan rang undang-undang ini dan kemudian kembali bekerja selepas itu juga tidak tertakluk kepada akta ini," jelasnya.
- UTUSAN