Syak wasangka hapus sifat baik mukmin

Oleh Ashraf Muslim

PERNAH atau tidak dalam hati kita menaruh perasaan syak wasangka terhadap orang lain tanpa asas kukuh, tetapi hanya disebabkan prasangka yang menguasai hati serta pemikiran, ini penyakit yang berbahaya.

Sebab itu kita diminta sentiasa bersangka baik bagi mengelak wujud situasi atau perasaan negatif yang akhirnya mendorong melakukan perkara melanggar ajaran agama.

Apabila hati dan pemikiran sudah dikuasai perasaan syak, akan wujud rasa tidak puas hati atau hendak marah dengan pihak lain boleh jadi ahli keluarga, pasangan kita, rakan dan teman sepejabat.

Selalunya apabila fikiran asyik memikirkan perkara negatif, inilah masa sangat disukai syaitan untuk menyucuk dan mengajak kita berfikir lebih jauh atau lebih buruk lagi mengenai orang itu.

Pelbagai skrip dimasukkan dalam pemikiran kita supaya perasaan syak wasangka itu terus menghantui diri dan hati, maka ketika itu timbul pula rasa ingin membalas dendam terhadap perbuatan disangkakan dilakukan orang itu.

Seperti isteri berprasangka buruk terhadap suami, jadi untuk memastikan perkara disyaki itu tidak berlaku, isteri perlu mengambil langkah awal dengan melakukan sesuatu.

Apabila isteri menyangkakan suami mempunyai hubungan dengan wanita lain, sebagai langkah pencegahan dia mengamalkan ilmu penunduk untuk menghalang suami menaruh hati kepada wanita lain.

Sedangkan, suami tidak pernah memikirkan perkara itu, tetapi disebabkan sifat prasangka isteri, suami menjadi mangsa. Bagi yang menyedarinya, mereka boleh berusaha untuk merawat penyakit didatangkan itu, tetapi jika tidak tahu, suami akan terus dikawal isteri.

Begitu juga dengan ibu bapa yang suka beranggapan negatif terhadap anak mereka. Ada kala ia dilakukan untuk menunjukkan kuasa atau hak ibu bapa terhadap anak. Ada juga disebabkan perasaan curiga terhadap kejujuran anak.

Ada kala puas anak cuba meyakinkan ibu bapa, tetapi tetap dituduh sebaliknya. Alangkah kecewanya anak kerana tidak mendapat kepercayaan ibu bapa. Sebagai jalan akhir, sebab ibu bapa mengatakan dirinya jahat, anak betul-betul menjadi jahat.

Sepatutnya ibu bapa yang menaruh prasangka terhadap anak, jika tidak puas hati, lakukan siasatan. Jangan menuduh membuta tuli. Mana tahu anak yang disangka melepak tidak tentu hala sebenarnya berkumpul dengan rakan untuk mengulang kaji pelajaran.

Ada kala disebabkan hasutan orang yang bercerita negatif mengenai seseorang menyebabkan kita juga mempunyai prasangka sedangkan kita sebenarnya tidak mengenali hati budi orang itu. Hanya berdasarkan cerita disampaikan, kita terus menaruh wasangka.

Alangkah ruginya jika orang yang disangka negatif itu sebenarnya seorang yang baik, tetapi hanya kerana ada yang tidak menyukainya dan melemparkan dakwaan palsu, kita juga terpengaruh.

Justeru, cuba elakkan perasaan syak wasangka atau suka berprasangka sebaliknya sentiasa berpandangan positif dan bersangka baik dengan orang lain.

Lebih-lebih lagi sebagai hamba Allah SWT kita perlu bersangka baik dengan Allah SWT kerana Dia Yang Maha Mengetahui. Jangan kerana kita diuji dengan kesusahan, kita menyangkakan Allah SWT tidak menyayangi kita.

Daripada Anas katanya, bersabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Jika Allah mengkehendaki kebaikan bagi seseorang hamba-Nya, disegerakan bagi hamba itu balasan ketika di dunia. Sebaliknya jika Allah menghendaki dengan hamba-Nya keburukan ditangguh pembalasan itu supaya disempurnakannya pada hari kiamat.

Nabi SAW bersabda: Sesungguhnya besarnya pahala itu bergantung pada besarnya ujian, sesungguhnya Allah itu apabila dia mengasihi sesuatu kaum dia menguji mereka dengan kesusahan. Sesiapa yang reda dengan kesusahan itu akan mendapat keredaan Allah dan siapa yang tidak reda maka dia akan menerima kemurkaan Allah.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Prasangka antara penyakit hati yang bahaya kerana boleh mewujudkan permusuhan, memutuskan silaturahim, menyemarakkan hasad dengki dan memecahbelahkan umat Islam. Oleh itu, hendaklah kita menjauhi penyakit syak wasangka ini.

Tidak rugi jika kita sentiasa bersangka baik kerana sekurang-kurangnya ia dapat mengelak daripada dijangkiti pelbagai penyakit hati. Bagaimanapun, perlu juga berhati-hati kerana takut ada yang mengambil kesempatan terhadap sifat baik kita.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url