Mandat rakyat 2008 berbaki 10 bulan, menghampiri tempoh lima tahun

Oleh Hassan Mohd. Noor

TIGA, empat atau lima. Itulah angka yang turut menjadi bualan ketika ini. Adakah sesuatu pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan setelah genap lima tahun selepas sesebuah kerajaan mendapat mandat rakyat?

Atau perlukah ia kekal seperti sekarang iaitu diadakan pada bila-bila masa menjelang genap lima tahun mandat yang diberikan rakyat kepada sesebuah kerajaan? Mungkin selepas tiga atau empat tahun. Isu ini tiba-tiba muncul selepas banyak ramalan atau telahan pelbagai pihak mengenai tarikh PRU Ke-13 meleset dan ramai yang ‘membuang’ masa mencongak bilakah tarikh keramat itu akan datang.

Dalam keadaan tertentu, PRU perlu diadakan walaupun tempoh pembubaran sebenarnya masih jauh. Mungkin ketika kedudukan sesebuah kerajaan dalam keadaan goyah, tidak cukup stabil untuk memerintah dengan baik.

Bagaimanapun jika diselak sejarah PRU yang lalu, tempoh paling awal pembubaran Dewan Rakyat tidak sampai dua tahun, sekitar 17 bulan sahaja. Maknanya PRU diadakan setelah mandat sesuatu penggal Parlimen melepasi usia tiga tahun. Kini setelah Jun berakhir, tidak ada sebarang petanda PRU. Kini timbul pula ramalan yang dikaitkan dengan pembubaran pada bulan September. Maka tercetuslah isu jika PRU berlangsung pada bulan September atau Oktober, Pas mahu anggota partinya menangguhkan pemergian mereka ke Mekah. Pas mahu kerajaan menangguhkan PRU pada musim haji. Seolah-olah pada musim haji, hanya orang Pas yang ke Mekah, tidak ada orang UMNO atau Barisan Nasional (BN). Timbul juga ura-ura, PRU hanya akan berlangsung ketika ia benar-benar menghampiri berakhirnya ‘idah’ menjelang 28 April 2013. Mungkin jika tidak diadakan tahun ini, ia dijangka berlangsung pada Mac 2013. Kita selak kembali dua kenyataan Perdana Menteri, Najib Tun Razak sebelum ini mengenai pilihan raya yang ada kaitan dengan ‘angka’ atau tempoh mandat ini.

Pertama, pada 22 Jun selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika PRU hendak diadakan selepas tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi. Ketika ini tiada apa-apa yang menyekat kerajaan untuk mengadakan PRU lebih awal kerana Perlembagaan membenarkan Perdana Menteri menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen tetapi tidak lewat dari tempoh lima tahun.

Kedua, pada 29 Jun, selepas mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi BN. Beliau berkata, tidak timbul soal BN kurang yakin menghadapi PRU berikutan dakwaan pembangkang yang beliau sengaja melambatkan tarikh itu. Katanya BN telah diberi mandat oleh rakyat untuk tempoh lima tahun bagi memperlihatkan kemampuan memimpin dan mentadbir negara serta membawa kemajuan untuk membela untung nasib rakyat. Kalau PRU terlalu awal, bererti memendekkan tempoh yang rakyat telah berikan.

Maka teka-teki mengenai tarikh PRU ini tentunya bukan disebabkan Najib belum mendapat ilham atau bukan juga BN tidak yakin. Di sebalik faktor yang diberikan oleh Najib, sudah tentu BN mahu memenuhi hasrat pembangkang yang memerintah beberapa negeri yang sebelum ini menegaskan tidak akan mengadakan PRU lebih awal. Ada negeri di bawah pakatan 3P (PKR-Pas-DAP) tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) jika Parlimen dibubarkan lebih awal. BN juga tentunya mahu mencipta keputusan 14-0 iaitu menang di semua negeri termasuk mendapat mandat rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang (serta Sarawak yang sudah mengadakan PRU DUN).

Najib juga tentunya mengambil kira wang rakyat yang akan digunakan setelah ada hasrat pakatan 3P tidak akan membubarkan beberapa negeri yang dimenangi pada PRU lalu.

Jika diselak kembali kenyataan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 18 November tahun lalu, kira-kira RM40 juta akan dibazirkan jika kerajaan PKR Selangor berkeras mahu mengadakan pilihan raya berasingan. Menurut Timbalan Pengerusi SPR, Wan Ahmad Wan Omar, walaupun hak kerajaan negeri membubarkan DUN tetapi banyak perkara perlu dilihat termasuk kepentingan rakyat, pembaziran wang dan tenaga kerja yang bertambah apabila PRU berasingan diadakan.

Justeru, Najib turut mengambil kira untuk menyelamatkan wang rakyat daripada mengalir kepada tujuan yang sepatutnya boleh dielakkan.

Dengan melewatkan PRU sehingga menghampiri tempoh akhir, ia juga membantu kerajaan negeri di bawah pakatan 3P berpeluang menunaikan janji yang belum ditepati selepas menabur janji pada kempen atau manifesto PRU lalu. Menjelang pembubaran Dewan Rakyat atau DUN, biar sedikit atau sekadar ada tetapi apa yang penting bagi mereka ialah menunaikan janji. Sama ada ia sesuatu yang menyeluruh atau sekadar memenuhi kehendak kroni/penyokong tegar mereka, eloklah pengundi yang menentukan pada PRU akan datang.

Mungkin jika sebelum ini kata-kata jika hari ini menang pilihan raya, esok juga ‘itu dan ini’ dilakukan akan bertukar kepada jika esok pilihan raya hari ini juga janji 2008 dilaksanakan. Tidak mustahil, semua janji akan ditunaikan pada saat-saat akhir walaupun risikonya amat besar.

Dengan memasuki Julai, bulan yang akan bermulanya puasa Ramadan kemudian Hari Raya Aidilfitri, kita sebenarnya semakin menghampiri usia lima tahun penggal Dewan Rakyat dan DUN selepas PRU lalu. Kebanyakan usia penggal DUN sudah pun genap empat tahun pada bulan April lalu manakala Terengganu, Kedah, Pahang dan Selangor mencapai tempoh itu pada Mei lalu. Maka tidak ada sebab bagi kerajaan negeri di bawah pakatan 3P mahu mengadakan PRU DUN secara berasingan.

Dan menyelak kembali tempoh mandat pentadbiran kerajaan sebelum ini, ternyata tidak ada yang benar-benar mencukupi lima tahun. Paling hampir pun pada 1969 apabila PRU diadakan kira-kira dua bulan sebelum tempohnya berakhir. Pada 1974, 1978 dan 1982, PRU diadakan kira-kira 17 bulan lebih awal daripada tempoh mandat berakhir.

Pada 1999, mandat yang diperoleh pada 1995 sepatutnya berakhir pada 6 Jun 2000 tetapi Dewan Rakyat dibubarkan pada 10 November 1999, kira-kira enam bulan lebih awal. Begitu juga pada 2004, mandat selepas PRU Ke-10 yang diadakan pada 29 November 1999 sepatutnya berakhir 20 Disember 2004 tetapi dibubarkan pada 4 Mac 2004 untuk membolehkan PRU Ke-11 diadakan. Manakala mandat yang diperoleh pada PRU Ke-11 sepatutnya berakhir pada 16 Mei 2009 tetapi PRU diadakan 8 Mac 2008 selepas dibubarkan pada 13 Februari 2008.

Begitulah bagaimana mandat sesuatu PRU berakhir, tanpa mencapai tempoh lima tahun tetapi melepasi tiga tahun iaitu tempoh yang tidak membenarkan sebarang pilihan raya kecil diadakan bagi mengisi kekosongan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url