Nisa Kay jana pendapatan dengan blog
NAMA Khairunnisa Mohd. Aminullah atau lebih dikenali sebagai Nisa Kay, 21, bukanlah asing lagi dalam dunia blog.
Dia yang akan menyambung pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) pada September nanti, begitu meminati warna merah jambu dan ungu.
Gadis itu mengakui, dompetnya sentiasa menipis gara-gara tidak dapat mengawal perbelanjaan tatkala terlihat barangan solekan, pakaian mahupun kasut yang berwarna merah jambu atau ungu.
Bagi kamu yang mahu mengenali pemilik blog Saya Suka Menaip ini bolehlah melayari http://www.nisakay.com
Bagaimana boleh terjebak dalam dunia blogger?
NISA KAY: Kira-kira lima tahun lalu menjadikan blog sebagai diari. Pada masa itu, kebanyakan cerita adalah mengenai kehidupan seharian, kawan-kawan, makanan serta tempat-tempat yang saya kunjungi. Bagaimanapun, sejak dua tahun lalu saya mulai aktif membuat blog komersial tentang gaya hidup. Jadi dalam blog itu, saya banyak menceritakan tentang pelancongan, kecantikan, produk serta majlis-majlis yang saya hadiri sebagai blogger.
Sikap Nisa Kay yang tidak diketahui pengikut-pengikut di blog...
Pembaca blog saya mungkin beranggapan saya seorang yang ceria tapi ramai yang tidak tahu saya ni sangat sensitif orangnya. Hanya orang di sekeliling saya sahaja yang tahu bahawa hati saya mudah terusik apabila berbicara mengenai keluarga. Memandangkan saya ni bukan anak orang senang, jadi saya memang sukar untuk menceritakan perihal keluarga saya. Selain itu, saya juga boleh menghadap komputer lebih dari 10 jam dalam sehari tanpa membuat benda lain. Saya juga mempunyai tabiat berbelanja dalam talian kerana ia lebih mudah dan menjimatkan masa.
Ceritakan mengenai koleksi barangan solekan yang dimiliki Nisa Kay...
Kalau nak tahu, sejak mengumpul barangan solekan ini saya jadi seorang yang boros sebenarnya. Apa tidaknya, alat solekan yang saya ada sekarang boleh dimuatkan dalam lima kotak kasut dan kalau dikira-kira, mahu dekat RM5,000 jumlahnya. Kebanyakan barangan solekan yang saya beli itu bukan untuk digunakan. Saya beli sebab tertarik dengan lipstik atau pembayang mata warna merah jambu walaupun sebenarnya saya telah memiliki warna tersebut.
Apa rancangan untuk 10 tahun akan datang?
Saya membayangkan dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya akan menjadi pengacara televisyen atau sekurang-kurangnya mempunyai kerjaya sebagai wartawan penyiaran.
Bagaimana kamu boleh menjadikan blogger sebagai kerja sambilan?
Macam yang saya ceritakan pada awal tadi, saya sudah terlibat dalam dunia blog ini sejak lima tahun lalu. Cuma kira-kira tiga tahun lepas, abang yang juga seorang blogger telah menunjukkan cek yang diterima, hasil daripada blognya. Walaupun jumlah tersebut tidak banyak, tapi saya sedar melalui blog saya boleh menjana pendapatan. Memandangkan pada ketika itu saya seorang pelajar di Universiti Selangor, itu sahaja kerja sambilan yang boleh dilakukan tanpa menjejaskan pelajaran.
Tip kepada blogger yang mahu jadikan blog sebagai sumber pendapatan...
Paling utama, mereka perlu sedar bahawa blog boleh menjana pendapatan tetapi tidak menjamin dapat membuat wang yang banyak. Selain itu, mereka perlu bersabar kerana untuk sampai ke tahap menjana pendapatan melalui blog akan mengambil masa yang panjang. Jangan segan untuk mendapatkan nasihat daripada blogger-blogger senior tentang cara menjana pendapatan melalui blog.
- UTUSAN