Sistem pemarkahan politeknik dirombak
Ini kerana pengiraan markah akademik politeknik ketika ini tidak selaras pemarkahan akademik di peringkat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Matrikulasi atau Diploma institusi pengajian tinggi awam (IPTA).
Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata pihaknya sedang berusaha membuat kesetaraan sistem pemarkahan itu bagi membolehkan lulusan politeknik melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Ini kerana, sekiranya pelajar politeknik mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.5, mungkin nilai markahnya di peringkat Matrikulasi atau IPTA hanya sekitar 3.00 saja.
Sebelum ini, lulusan diploma politeknik hanya layak memasuki IPTA bidang teknikal saja. Menerusi penyelarasan, pelajar terbabit dijangka layak memasuki mana-mana IPTA atau universiti penyelidikan pada masa depan, katanya.
Beliau mengulas kegagalan ramai lulusan politeknik memasuki IPTA selepas menamatkan pengajian mereka peringkat diploma selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama penduduk di Masjid Taman Rinting, di Pasir Gudang.
- BERITA HARIAN