Apa itu Gangnam Style?


SEKARANG ini orang ramai asyik bercerita tentang Gangnam Style, lagu dendangan Psy, penyanyi hip hop dari Korea. Ternyata penyanyi yang nama sebenarnya, Park Jae Sang, 35, berjaya mencetus fenomena 'Gangnam Style' di seluruh dunia.

Penyanyi yang mendapat pendidikan dari Universiti Boston dan Berklee College of Music, Amerika Syarikat itu mula menghasilkan album pertama, PSY From The Psycho World pada 2001.

Dia bukanlah siapa-siapa jika dibandingkan dengan populariti Jay Park atau kumpulan idol seperti Super Junior dan Wonder Girls kerana Psy hanya popular di kalangan peminat underground.

Psy dikenali kerana sikap humor dan gemar meniru gaya penyanyi popular sewaktu persembahan dan pada 2006 namanya menjadi sebutan kerana meniru aksi penyanyi Lee Hyori.

Dia juga banyak muncul dalam pelbagai program, antaranya Good Sunday: X-Man dan The Golden Fishery.

Namun siapa sangka, lagu Gangnam Style yang dimuatkan dalam album keenamnya itu berjaya mengangkat nama Psy sebagai artis Korea pertama yang menduduki tangga tertinggi carta iTunes dan US Music Video. Selepas disiarkan di Internet ia telah ditonton oleh kira-kira 99,460,637 pengunjung.

Penyanyi naungan pengurusan YG Entertainment itu bukan sahaja berjaya memukau peminat seni dengan lagu dan tarian ala kuda itu malah dia berjaya mempromosi daerah Gangnam yang terletak di bandar Raya Seoul, Korea Selatan.

Gangnam (sebutan gang-nam) dirujuk kepada sungai-selatan dan istilah itu digunakan untuk merujuk kepada keluasan bahagian selatan Sungai Han yang terletak di Seoul, yang merangkumi daerah Gan-nam-gu, Seo-cho-gu dan Song-pa-gu.

Ketiga-tiga daerah itu umpama kawasan segi tiga emas berbanding tempat lain di Seoul kerana kehidupan di situ penuh gaya ibarat bandar Manhattan, New York atau Beverly Hills serta Orange County di California.

Secara kasar Gangnam Style atau Gaya Gangnam merujuk kepada kehidupan kelas atasan yang dipenuhi hotel mewah, pusat beli-belah yang penuh dengan barangan berjenama lagi trendy dan penduduk yang gemarkan sosial.

Semua itu dapat dilihat pada setiap bait lirik Gangnam Style.

Cetus fenomena

SELEPAS dua tahun mendiamkan diri dari dunia seni, Psy kembali dengan muzik video menerusi single berunsur satira Gangnam Style yang disiarkan di YouTube bermula 16 Julai lalu.

Muzik video yang dikenali sebagai tarian kuda dan popular dengan korus ‘Heyyyy, sexy lady!’ mampu menggubah nasib Psy dalam tempoh sesingkat itu.

Keunikan tarian yang ditampilkan oleh Psy itu turut mendapat liputan media Amerika Syarikat seperti Gawker (30 Julai), CNN International (2 Ogos), Wall Street Journal (8 Ogos) ABC News (14 Ogos), Time (15 Ogos) dan The Atlantic (23 Ogos).

Malah selebriti popular turut bercakap tentang Gangnam Style dalam Twitter masing-masing seperti Katy Perry, T-Pain, Robbie Williams, Josh Groban dan Britney Spears yang ingin belajar tarian gaya Psy.

Pada 4 September lalu, jurucakap Psy memberitahu, penyanyi itu telah menandatangani kontrak dengan Island Records, sebuah syarikat rakaman di Amerika Syarikat yang mengurusnya di peringkat antarabangsa.

Island Records milik Universal Music Group itu mewakili artis terkenal seperti Mariah Carey, Melissa Ethridge, Jennifer Lopez, Justin Bieber, The Killers, Snow Patrol, dan Fall Out Boy.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url