Bersegera lakukan kebajikan
Mukmin perlu manfaat masa terluang dengan amalan baik
Kehidupan dunia ini memiliki tiga waktu yang berbeza iaitu kelmarin, hari ini dan esok. Kelmarin dan waktu lampau tidak akan kembali, sehingga kita tidak mungkin menjengah kembali masa silam.
Hari ini adalah satu anugerah kurniaan nikmat Ilahi yang tidak ternilai kepada setiap hamba Allah, sehingga mereka yang bijaksana akan memanfaatkannya dengan memperkukuhkan keimanannya dan bersegera melakukan amal soleh.
Sedangkan hari esok adalah satu rahsia Ilahi yang tiada seorang pun dapat mengetahuinya secara pasti.
Allah SWT berfirman: “Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat mengenai hari kiamat. Dan Dialah juga yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya apa yang ada dalam rahim (ibu yang mengandung). Dan tiada seseorang pun yang betul mengetahui apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Amat Meliputi pengetahuan-Nya.” (Surah Luqman, ayat 34)
Sementara itu, umur manusia memiliki dua sifat iaitu pertama, ia tetap akan berjalan terus tanpa henti, baik manusia sedang mengalami kesedihan mahu pun kegembiraan, sihat atau sakit, muda atau tua.
Kedua, umur yang telah berlalu tidak akan pernah kembali sehingga tiada guna penyesalan yang terjadi ketika mana kesempatan yang hilang tadi tidak akan akan muncul. Berdasarkan kenyataan itu, maka Allah SWT memberikan petunjuk-Nya supaya setiap insan bersegera melakukan kebajikan.
Allah SWT berfirman: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang yang bertakwa.” (Surah Ali Imran, ayat 133)
Rebut lima perkara
Daripada Ibnu Abbas, dikhabarkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara; masa hidupmu sebelum matimu, masa sihatmu sebelum datangnya sakitmu, masa lapangmu sebelum datangnya masa sibukmu, masa mudamu sebelum masa tuamu, dan masa kayamu sebelum datangnya masa miskinmu.” (Hadis riwayat Ahmad)
Sejarah Islam mencatatkan bahawa Saidina Abu Bakar as-Siddiq memiliki keutamaan dalam kalangan sahabat lainnya dengan dua keistimewaan. Pertama, beliau adalah seorang sahabat yang senantiasa membenarkan Rasulullah SAW.
Oleh sebab itu, Rasulullah SAW memberinya gelaran As-Siddiq yang bermaksud orang yang selalu membenarkan kata dan ucapan Rasulullah SAW.
Kedua, Saidina Abu Bakar adalah seorang sahabat yang sentiasa menjadi orang pertama dalam banyak hal. Oleh sebab itu, beliau termasuk dalam kelompok perintis perjuangan dakwah pada era Rasulullah SAW, lebih dikenali Al-Sabiqun Al-Awwalun yang dijanjikan Allah SWT syurga.
Firman Allah SWT: “Dan orang yang terdahulu - yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang Muhajirin dan Ansar, dan orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Ia menyediakan untuk mereka Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.” (Surah al-Taubah, ayat 100)
Perkara utama dalam kehidupan
Sifat bersegera melakukan kebajikan dan menjadi orang yang pertama dalam banyak hal adalah menjadi perkara yang penting dalam kehidupan seorang Muslim kerana sifat itu akan memenuhi keperluan yang mendesak, mententeramkan jiwa di samping memberikan kepastian muktamad.
Yang paling menariknya, sifat membenarkan dan bersegera adalah gabungan dari sifat kemuliaan dan jika keduanya bersatu pada diri seseorang, akan melahirkan kesempurnaan.
Hadis Ibnu Abbas, Rasulullah SAW ada menceritakan mengenai 70,000 orang daripada umatnya yang akan masuk syurga tanpa dihisab dan diselamatkan daripada seksaan api neraka. Lantas salah seorang sahabat Nabi SAW bernama Ukashah bin Mahsan berkata: “Ya Rasulullah! Doakanlah aku supaya aku termasuk salah seorang daripada golongan mereka.
Rasulullah SAW menjawab: “Engkau sebahagian daripada mereka. Kemudian seorang sahabat yang lain berdiri dan berkata: Doakanlah juga aku termasuk dalam golongan mereka wahai Rasul! Rasulullah SAW menjawab: Ukashah telah mendahuluimu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Jawapan Rasulullah SAW ini mengisyaratkan bahawa golongan yang bersegera dan juga menjadi golongan pertama sebenarnya memiliki maqam istimewa dengan orang lain, termasuk dalam urusan agama.
Kualiti orang yang sentiasa bersegera.
Apatah lagi dalam realiti kehidupan, umumnya semua orang mengetahui yang bersegera dan menjadi yang pertama jelas berbeza kualitinya dengan orang bergerak lambat serta pemalas.
Dalam Islam, sifat bersegera dan menjadi yang pertama adalah terhormat. Oleh itu, Rasulullah SAW sering kali berpesan kepada umatnya supaya tidak mensia-siakan waktu yang terluang tanpa pengisian amal terbaik.
Setiap Muslim hendaklah menginsafi waktu yang sedang berlangsung ini sangat berharga dan tidak dapat diganti sama sekali. Kekosongan yang tidak diisi dengan amal kebaikan akan terisi oleh keburukan dan begitu juga, kesempatan yang tidak diambil segera terlepas dari tangan.
Allah memberi panduan supaya waktu yang kosong hendaknya diisi dengan amalan berfaedah dan berkebajikan. Allah SWT berfirman: “Kemudian apabila engkau telah selesai (daripada sesuatu amal salih), maka bersungguh-sungguhlah engkau berusaha (mengerjakan amal soleh yang lain).” (Surah al-Insyirah, ayat 7)
- BERITA HARIAN