Had Umur Persaraan Pekerja TNB Dinaikkan Kepada 60 Tahun

Tenaga Nasional Berhad (TNB) muncul sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) pertama melanjutkan had umur persaraan wajib daripada 56 tahun kepada 60 tahun.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata ia selaras dengan pelaksanaan Akta Umur Persaraan Minimum yang diluluskan Parlimen baru-baru ini.

Selain itu, beliau turut mengumumkan dua lagi berita baik kepada warga TNB iaitu Lembaga Pengarah dan Pengurusan TNB bersetuju menaikkan kadar caruman KWSP majikan untuk pekerja TNB dalam tempoh umur 56 hingga 60 tahun.

Bagi warga kerja baharu TNB, mereka akan dicarumkan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mulai 1 Sept 2012, katanya. Perdana Menteri membuat pengumuman itu pada sidang video di majlis perhimpunan warga kerja TNB di Kompleks Sukan TNB di sini hari ini, yang turut dikuti secara langsung oleh hampir 30,000 warga kerja TNB di seluruh Semenanjung dan Sabah.

Najib berkata dengan kenaikan kadar caruman KWSP itu, akan membolehkan mereka yang akan bersara dalam tempoh empat tahun lagi, menikmati manfaat daripada caruman itu. "Dalam masa empat tahun, TNB akan naikkan sumbangan kepada pekerja, supaya persaraan nanti, jumlah dana KWSP bertambah dan mereka dapat mengecapi alam persaraan yang lebih selesa," katanya.

Najib berharap dengan pelaksanaannya, semua warga kerja TNB akan mendapat lebih manfaat dan lebih bermotivasi dalam melaksanakan tanggungjawab mereka.

"Dan apa yang telah diungkapkan wakil tuan-tuan dan puan-puan, akan menjadi komitmen yang gigih dan bersungguh-sungguh. Dengan ini keunggulan TNB akan lebih menyerlah dan 60 tahun akan datang TNB akan lebih cemerlang," katanya.

Ini membolehkan mereka yang akan bersara dalam tempoh empat tahun lagi, menikmati manfaat daripada caruman itu, katanya. "Dalam masa empat tahun, TNB akan naikkan sumbangan kepada pekerja supaya persaraan nanti, jumlah dana KWSP bertambah dan mereka dapat mengecapi alam persaraan yang lebih selesa," katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan warga kerja TNB di Kompleks Sukan TNB di sini, Isnin.

Najib berkata cabaran TNB pada masa kini adalah untuk memenuhi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dengan memastikan bahawa bekalan elektrik dan tenaga yang diperlukan pada tahap reliabiliti tinggi berbanding peringkat awal dulu di mana cabaran TNB adalah untuk menyediakan bekalan kepada kawasan bandar kecil dan luar bandar. "Bila kita sebut berkualiti, ia sekali dengan aspek kebolehpercayaan. Bukan saja untuk penghuni rumah tapi yang lebih mencabar, pihak industri seperti dalam bidang elektrikal dan elektronik yang cukup canggih di mana kalau gangguan kecil pun, boleh menyebabkan kerugian yang besar," katanya.

Najib berharap TNB akan terus berkembang dan memantapkan lagi organisasi mereka menerusi program pembangunan modal insan yang telah disusun rapi.

Mengenai pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu TNB, Datuk Ir Azman Mohd, Najib berkata beliau telah menunaikan janji kepada warga TNB untuk melantik bakat dalaman bagi mengisi jawatan itu. "TNB ialah sebuah badan yang keunggulannya tidak boleh disangsi sesiapa. Sebab itulah bila tiba masa ada peralihan pucuk pimpinan pengurusan TNB, saya beritahu kesatuan, jika kamu ada seseorang dari dalam, saya akan lantik orang itu sebagai Ketua Eksekutif.

"Kita pilih tema janji ditepati. Maka janji saya kepada warga TNB telah ditepati. Kita berbangga dengan bakat dari dalam Datuk Ir Azman yang layak jadi CEO dan presiden TNB," katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Eksekutif TNB, Abdul Shukor Hassan berkata warga kerja TNB keseluruhannya menyambut baik pengumuman hari ini.

Katanya, ramai warga kerja TNB yang memohon supaya dilanjutkan had persaraan memandangkan gaya hidup yang semakin meningkat.

Ir Azman ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri itu, berkata ia dilakukan selepas mesyuarat lembaga pengurusan diadakan.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url