JPN beri penjelasan isu MyKad

KUALA LUMPUR 8 Sept. - Ciri-ciri keselamatan pada MyKad yang baru dikeluarkan sejak awal tahun ini adalah memenuhi spesifikasi dan piawaian kad pintar antarabangsa.

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Jariah Mohd. Said, MyKad baru memiliki ciri-ciri keselamatan terkini yang telah ditambah baik termasuk penggunaan turisan laser.

Kata beliau, MyKad baru tidak memiliki tiga aplikasi induk seperti mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dan MEPSCash kerana tidak mendapat sambutan orang ramai.

“Bagi aplikasi PKI pula, ia masih boleh disediakan dan akan dilaksanakan sepenuhnya menjelang Oktober tahun ini.

“Bagaimanapun, aplikasi tersebut bukanlah ciri-ciri keselamatan MyKad," katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Utusan Malaysia hari ini mendedahkan sebuah syarikat yang diberi tanggungjawab mengeluarkan MyKad kini disiasat kerana disyaki menggunakan sistem data yang tidak menepati spesifikasi sehingga menyebabkan kerajaan bakal menanggung kerugian RM300 juta dalam tempoh lima tahun.

Syarikat yang diberi tender untuk mengeluarkan MyKad mulai tahun ini dipercayai hanya mampu menyediakan lima daripada lapan aplikasi ciri-ciri keselamatan dalam kad pintar dan pasport rakyat Malaysia.

Dalam pada itu, Jariah berkata, isu kelewatan pemprosesan MyKad kerana berlakunya peningkatan permohonan MyKad baru sebanyak tiga kali ganda daripada 8,000 sehari kepada 21,000 sehari.

“Bagaimanapun masalah tersebut telah diselesaikan di semua Ibu Pejabat JPN negeri yang berkaitan pada penghujung bulan Julai.

“Manakala cawangan-cawangan kecil lain dijangka akan selesai sepenuhnya pada bulan Oktober depan," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url