UiTM perkenal program pengurusan dan sains halal
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata pengenalan kursus itu akan membantu meningkatkan pertumbuhan industri halal negara menerusi penghasilan modal insan yang lebih arif tentang sektor tersebut.
“Graduan yang lahir dari kursus ini nanti akan menjadi penghubung utama antara Halal Development Centre (HDC), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan industri yang memerlukan keperluan halal,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Halal Antarabangsa 2012.
Sementara itu, Naib Canselor UiTM Datuk Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar yang turut hadir, berkata kursus akan ditawarkan di kampus induk di Shah Alam dan dalam proses mendapat kelulusan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Pengambilan pertama dijangka September depan, membabitkan 30 lulusan Sijil Pelajaran Malaysia yang akan mengikuti pengajian asasi selama setahun sebelum meneruskan ke peringkat ijazah selama tiga tahun, katanya.
— BERNAMA