Guru penggerak Pelan Pembangunan Pendidikan

Golongan guru termasuk pensyarah institusi pengajian tinggi awam atau swasta menggalas tugas besar memastikan kelancaran Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 sekali gus menepati keperluan objektifnya.

Pengarah Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran, Datuk Mohd. Ghazali Ab. Rahman berkata, guru dan pensyarah menjadi penggerak serta pelaksana utama dalam PPPM di samping berperanan memastikan perlaksanaannya memenuhi matlamat yang dihasratkan oleh kerajaan.

“Oleh itu, golongan ini harus memahami skop keperluan dan objektif penubuhan PPPMkerana mereka merupakan aset paling utama dalam menentukan kejayaan atau sebaliknya rancangan PPPM,“katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya dekat Putrajaya, baru-baru ini.

Laporan awal PPPM yang dilancarkan bulan lalu itu merangkumi pelan tiga fasa bagi tempoh selama 13 tahun sehingga 2025.

Semakan semula akan dibuat lima tahun sekali mulai 2015 manakala laporan tahunan pula akan dikeluarkan bagi memantau perkembangan yang dicapai.

Untuk itu, ujarnya, peranan guru dan pensyarah akan ‘disegarkan’ bagi meningkatkan kemahiran dan kemampuan golongan terbabit seiring dengan hasrat PPPM.

“Kita mahu pelaksanaan PPPM menggegarkan peranan dan fungsi guru dan mahu mereka memikirkan bahawa rancangan PPPM adalah hak milik mereka, bukan semata-mata menjalankan kerja sebagai guru atau mendapat pendapatan bulanan," tegasnya.

Ujar beliau, pihaknya masih membuka pelbagai ruang kepada golongan terbabit untuk melengkapkan diri dan pemahaman terhadap pelaksanaan PPPM melalui penganjuran Hari Terbuka kementerian dan kempen penerangan di seluruh negara.

Salah satu usaha itu, katanya, adalah penganjuran Konvensyen Kebangsaan Pendidikan Guru 2012 pada 15 hingga 17 Oktober ini di Kuantan, Pahang bagi berkongsi pengetahuan dan mengenal pasti amalan terbaik meningkatkan profesional, kemahiran dan nilai profesional golongan terbabit seiring keperluan PPPM.

Konvensyen tiga hari itu dihadiri 400 guru dan pensyarah 17 IPTA dan IPTS seluruh negara.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url