Lakukan Korban Di Premis Penyembelihan Sah - JPV

Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV)menasihatkan umat Islam di negara ini melakukan penyembelihan ternakan korban di premis penyembelihan yang diluluskan jabatan itu.

Ketua Pengarahnya Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin berkata langkah itu bagi memastikan pematuhan tatacara dalam Garis Panduan Penyembelihan Ternakan Korban yang dilancarkan JPV baru-baru ini.

"Bila adakan operasi penyembelihan (di rumah sembelih) segala perkakasan lengkap dan dapat jamin keselamatan kakitangan yang laksanakan penyembelihan serta ternakan," katanya pada sidang media di Kompleks Abatoir Shah Alam, di sini Jumaat.

Garis panduan yang dilancar pada 18 Oktober lepas itu merangkumi undang-undang dan peraturan mengenai pemantauan ternakan korban, operasi serta premis penyembelihan, aspek kebajikan haiwan dan juga pengurusan sisa ternakan.

Katanya selepas pelancaran garis panduan itu, terdapat peningkatan permohonan daripada orang ramai untuk melakukan penyembelihan di rumah sembelih.

"Kita akan kumpulkan 'feedback' dan kita akan bantu selaraskan penyembelihan di rumah sembelih selain meningkatkan keupayaan rumah sembelih dari segi operasi serta perkakasan supaya kita mampu kendali operasi penyembelihan dengan lebih baik," katanya.

Mengenai ibadah korban yang dilakukan di masjid atau surau, beliau berkata JPV telah menempatkan anggota penguat kuasa di seluruh negara untuk pemantauan bagi memastikan aktiviti itu dilakukan mengikut garis panduan berkenaan.

Ditanya mengenai pelaksanaan sistem Jaminan Rangkaian Pembekal Pengeksport (ESCAS) oleh Australia berhubung pengeksportan lembu dari negara itu, Abdul Aziz berkata perkara tersebut tidak memberi kesan langsung ke atas ibadah korban tahun ini.

"Haiwan diimport dari Australia termasuk kambing perlu melalui piawaian penyembelihan yang diluluskan oleh kerajaan negara itu. Untuk tahun ini kita gunakan lembu tempatan dan diimport dari Thailand, bagaimanapun kita sendiri ada piawai tinggi untuk pastikan kesihatan dan kebajikan haiwan.

"Kita sudah bersedia untuk tahun depan dan jika kita didapati tidak menepati (piawaian ditetapkan Australia) dan tidak diberi permit untuk import lembu dari sana kita terpaksa lihat negara lain yang tidak terlalu ketat peraturannya," katanya.

Abdul Aziz berkata JPV juga dalam proses menggubal Akta Kebajikan Haiwan yang dijangka dibentang di Parlimen tahun depan.

Terdahulu beliau menyaksikan ibadah korban sebahagian 900 ekor lembu dan kambing anjuran syarikat Ternakan Kamran Sdn Bhd dan TPL Fresh Meats Sdn Bhd untuk diserah kepada fakir miskin.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url