GETARAN dada seorang wanita yang sedang menyapu daun-daun kering di halaman rumahnya semakin deras tatkala melihat seorang lelaki beruniform menaiki basikal memasuki pekarangan rumah. Desah nafasnya semakin kedengaran apabila lelaki tersebut menghulurkan sekeping sampul tertera perkataan telegram di hadapannya sambil berkata: “Telegram untuk puan.”
Sebaik kiriman telegram yang tertulis, ‘Ayah meninggal dunia, balik segera!’ dibaca, mengalir manik-manik jernih daripada sepasang mata bundar wanita itu.
Itu antara adegan drama yang masih segar dalam ingatan penulis berhubung fungsi telegram iaitu menyampaikan mesej kecemasan terutamanya berita buruk dan sedih.
Jika ditebak soalan mengenai telegram kepada generasi muda kini yang medium komunikasinya berkiblatkan gajet-gajet canggih, pasti 90 peratus daripada mereka tidak tahu apa itu telegram.
Pernah sekali penulis menguji seorang remaja berusia 18 tahun mengenai telegram dan remaja tersebut bertanya kembali kepada penulis: “Apa itu telegram? Sukatan timbang terbaharu ke?”
Kenangan telegram
Kalau ada yang tahu pun, mungkin mereka hanya mendengarnya melalui pembacaan novel, cerita dan drama lama tanpa merasai sendiri pengalaman menggunakan perkhidmatan tersebut.
Bagi seorang pesara kerajaan Rosly Mohamad, telegram punya nilai sentimental buat dirinya dan isteri, Zubaidah Omar, 58.
Lelaki berusia 58 tahun hanya tersenyum sambil ketawa kecil apabila persoalan mengenai telegram diutarakan, lantas ayah kepada empat orang anak itu menyingkap kembali cerita lama.
Ceritanya, apabila dia mahu menyunting anak dara orang, sudah menjadi adat ia dimulakan dengan merisik kemudian barulah bertunang, bernikah dan akhir sekali berkahwin.
“Pada ketika itu, keluarga saya merancang untuk datang merisik bakal isteri saya di Parit Baru, Sabak Bernam, Selangor. Tetapi saya tidak tahu bagi orang Jawa (keluarga sebelah isteri) merisik itu dikira bertunang.
“Kelam-kabut saya dibuatnya kerana tidak menyediakan apa-apa persiapan untuk majlis pertunangan. Yang ada hanya sebentuk cincin belah rotan sebagai tanda merisik,” katanya yang ketika itu tinggal di Tanjung Malim, Pera.
Tanpa berfikir panjang, dia terus memecut ke pejabat pos Tanjung Malim untuk menghantar telegram menyampaikan pesanan kepada keluarga bakal isteri bahawa pertunangan ditangguhkan bagi membolehkan keluarganya membuat segala persiapan.
“Mujur ada telegram, majlis pertunangan berlangsung seminggu kemudian. Kini, perkhidmatan telegram sudah ditamatkan dan segalanya hanya tinggal kenangan untuk diceritakan kepada anak dan cucu.
“Sayangnya, telegram itu tidak tahu ke mana,” ujarnya.
Guna Kod Morse
Sejarah perkhidmatan telegram di Malaysia diperkenalkan di negara ini sejak tahun 1940-an.
Perkhidmatan telegram digunakan secara meluas oleh rakyat Malaysia pada ketika itu bagi menghantar pesanan termasuklah pesanan-pesanan segera.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran Telekom Malaysia (TM), Datuk Rozalila Abdul Rahman, pada awal pengenalannya, perkhidmatan telegram telah diberikan melalui bantuan operator menggunakan Kod Morse.
Pada waktu itu, perkhidmatan telegram ditawarkan oleh Jabatan Telekom Malaysia (JTM). Apabila jabatan tersebut diswastakan menjadi Syarikat Telekom Malaysia (STM) pada tahun 1987, perkhidmatan itu terus kekal di bawah seliaan STM hinggalah evolusinya kepada Telekom Malaysia Berhad (TM) pada hari ini.
“Perkhidmatan telegram yang ditawarkan sebelum ini oleh TM mengguna pakai sistem Automatic Message Switching dan menggunakan sebuah teleprinter bagi menghantar, menerima dan mencetak pesanan-pesanan pelanggan. Perkhidmatan ini hanya boleh diperoleh menerusi Pusat Khidmat Pelanggan TM di talian 100 dan juga di premis-premis TMpoint,” katanya.
Tambahnya, Pos Malaysia bertanggungjawab memungut pesanan-pesanan yang dicetak dari Pusat Telegram TM di Kuala Pauh, Jalan Kuchai Lama, Selangor atau di premis TMpoint terpilih di seluruh negara untuk dihantar kepada penerima pesanan tersebut.
Bagaimanapun, kemajuan teknologi menyebabkan perkhidmatan telegram sejak beberapa tahun kebelakangan ini hanya digunakan kebanyakannya oleh bank dan institusi kewangan, khususnya bagi tujuan pungutan pembayaran.
“Akhirnya TM mengambil keputusan untuk menamatkan perkhidmatan ini atas beberapa faktor. Antaranya ketiadaan bantuan sokongan teknikal bagi peralatan yang dimiliki, selain wujudnya peranti-peranti serta saluran komunikasi baharu. Lebih banyak orang hari ini berkomunikasi menggunakan telefon talian tetap, telefon mudah alih, khidmat pesanan ringkas (SMS), e-mel dan aplikasi pesanan segera,” ujarnya.
Jelas Rozaliza lagi, berikutan peralatan yang digunakan untuk memberikan perkhidmatan telegram semakin usang dan alat gantian juga tidak lagi didapati, ia menjadi semakin sukar buat TM untuk terus menawarkan perkhidmatan itu.
TM telahpun memaklumkan kepada Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan mengenai hasrat untuk menamatkan perkhidmatan telegram pada tahun 2004 dan kementerian akhirnya meluluskan permohonan tersebut pada bulan Mei 2012.
Tanggal 1 Julai lalu menjadi detik pernuh bersejarah apabila perkhidmatan telegram ditamatkan secara rasminya.
“Kami percaya industri telekomunikasi masa kini menghidangkan pelbagai medium komunikasi yang lebih bersesuaian dengan kemampuan dan cara hidup rakyat Malaysia.
“Kami juga memahami bahawa tidak semua golongan mampu untuk memiliki telefon bimbit atau komputer peribadi (PC) bagi menghantar e-mel, namun apabila Malaysia bergerak maju ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, negara kita dilengkapi dengan infrastruktur komunikasi yang berkembang dengan baik termasuklah telefon awam serta perkhidmatan pos,” katanya.
Pada detik-detik terakhir perkhidmatannya, Pengurus Besar TM Kelantan, Ab. Rashid Che Othman memberitahu, kira-kira 1,000 telegram dihantar melalui TM Point Kota Bharu berbanding hanya sekitar 500 pada hari-hari biasa.
Sejak tahun 2000 telegram dihantar melalui komputer dan tidak lagi menggunakan mesin teleks seperti zaman dahulu.
Bagi mereka yang mahu mendapatkan gambaran lebih jelas dan melihat sendiri mesin teleks yang digunakan suatu ketika dahulu anda boleh berkunjung ke Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
- KOSMO!