Ujian Spirometri untuk perokok tegar

"SETELAH hampir separuh abad hidup saya tidak dapat dipisahkan daripada rokok, segalanya berubah apabila pada tahun 2002 saya disahkan menghidap penyakit paru-paru atau sekatan pulmonari kronik (COPD).

"Ketika itu saya mengalami sesak nafas yang teruk sehingga terpaksa dirawat beberapa kali di unit kecemasan.

"Setelah berjumpa dengan doktor, segalanya sudah terlambat kerana saya disahkan menghidap masalah paru-paru setelah membuat ujian spirometri," kata Sairi Ajir.

Itu adalah sebahagian kisah hidup Sairi apabila terpaksa menempuhi saat-saat getir dalam hidupnya kerana lambat membuat pengesanan awal.

Apa pun kini beliau semakin sihat dan boleh menjalani kehidupan seperti sediakala setelah melalui beberapa rawatan tertentu.

Kisah Sairi mungkin dikongsi oleh beribu perokok tegar lain yang berdepan dengan pelbagai risiko kesihatan dan masih belum berpeluang untuk menjalani ujian spirometri.

Dalam pada itu, ke arah menyahut seruan Masih Belum Terlambat Hari COPD sedunia 2012 disambut dengan penubuhan klinik spirometri awam pertama di Universiti Teknologi Mara (UiTM), kampus Selayang, Selangor.

Pakar Perunding Respiorotari, Fakulti Perubatan, UiTM, Kampus Selayang, Prof. Dr. Tengku Saifudin Tengku Ismail berkata, spirometri adalah prosedur penting untuk memudahkan diagnosis penyakit COPD.

"Dengan adanya klinik ini, orang ramai lebih berpeluang untuk mendapatkan ujian spirometri yang akan memudahkan pengesanan awal COPD dan membolehkan mereka bertindak tepat pada masanya.

"Spirometri adalah satu kajian yang tidak menyakitkan ke atas isipadu udara dan kadar alirannya di dalam paru-paru.

"Ia sering digunakan untuk menilai fungsi paru-paru pada penghidap penyakit paru-paru obstruktif atau restriktif.

"Ujian spirometri menggunakan spirometer, sejenis alat yang digunakan untuk mengukur keberkesanan dan kepantasan paru-paru dapat dikosongkan," katanya.

Ujarnya, klinik spirometri awam di UiTM, Kampus Selayang akan menjalankan ujian spirometri untuk pesakit dan orang ramai pada setiap Selasa dan Jumaat.

"Klinik ini dibuka kepada orang ramai dan setiap ujian spirometri akan dikenakan bayaran RM15, manakala tiada sebarang bayaran kepada kakitangan kerajaan.

"Dengan adanya peralatan dan kemudahan betul yang mungkin tidak tersedia di klinik-klinik lain, kami percaya klinik spirometri awam akan membantu menangani masalah kekurangan diagnosis.

"Walau bagaimanapun, kami ingin menggalakkan lebih banyak institusi penjagaan kesihatan menawarkan perkhidmatan sebegini supaya bersama-sama kita dapat membantu lebih ramai pesakit," katanya.

Sementara itu, Profesor Jabatan Perubatan, Fakulti Peubatan, Universiti Malaya, Profesor Liam Chong Kin berkata, satu daripada 10 orang dewasa yang berusia lebih 40 tahun mungkin menghidap COPD di seluruh dunia.

"Penyakit ini amat biasa di negara-negara di mana pengguna rokok adalah sangat meluas.

" Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), COPD adalah punca keempat utama kematian di seluruh dunia berbanding kanser dan mempunyai kadar kematian sama seperti HIV/AIDS.

"Tahap kesedaran COPD di negara ini agak rendah kerana ramai orang, termasuk pesakit tidak tahu tentang penyakit ini.

"Bahkan kajian penyakit dunia mendapati COPD dijangka menjadi punca kematian ketiga paling lazim menjelang 2020. Penularan COPD tahap sederhana di Malaysia adalah 4.7 peratus iaitu sebanyak 448,000 kes," katanya.

Tambahnya, oleh kerana tiada penawar untuk COPD, adalah tanggungjawab pakar penjagaan kesihatah untuk mendidik orang ramai mengenai rawatan dan perubahan gaya hidup yang akan membolehkan mereka menguruskan dan melambatkan perkembanga npenyakit tersebut dengan berkesan.

Pengarah Pemasaran, GlaxoSmithkline (GSK)Sdn. Bhd., Jay Soriano berkata, Hari COPD Sedunia adalah platform untuk memupuk kesedaran dan meningkatkan penjagaan terhadap COPD.

"Pematuhan global ini bertujuan untuk mengurangkan kadar kematian akibat COPD dengan mengurangkan bilangan pesakit yang dimasukkan ke hospital dan mengurangkan kadar kes baru.

"GSK berbesar hati untuk menyokong inisiatif ini sempena hari COPD Sedunia 2012. Di GSK, kami komited dalam meningkatkan kualiti hidup para pesakit COPD dengan membolehkan mereka lebih aktif, berasa lebih baik dan hidup lebih lama," katanya.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url