Majikan perlu terbuka soal penawaran gaji
Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).
PADA tahun 2009 sahaja lebih 49.6 peratus (%) pendapatan isi rumah dikuasai oleh golongan yang berpendapatan 20% tertinggi di negara kita. Golongan 80% lagi yang terdiri daripada kumpulan berpendapatan sederhana dan kumpulan yang berpendapatan rendah, berkongsi lebihan pendapatan isi rumah yang berbaki 50% tersebut. Bumiputera yang mewakili 64.9% daripada isi rumah pada tahun yang sama, 74.7% daripadanya berpendapatan di bawah RM2,000.
Persepsi makan gaji yang dilihat ideal bagi sebilangan besar masyarakat berbanding dengan bidang keusahawan dikatakan menyumbang kepada jumlah yang menerima pendapatan kurang dari RM2,000 ini.
Salah satu aspek yang sama pentingnya untuk ditangani ialah sejauh mana sebenarnya kesediaan majikan untuk menawarkan gaji atau upah yang tinggi kepada pekerja mereka pada konteks hari ini. Selama ini kita sering mendengar ramai majikan mengeluh bahawa kebanyakan calon pekerja tidak memiliki kriteria atau kemahiran tertentu yang diperlukan dalam organisasi,
Dengan kadar keluaran graduan yang meningkat saban tahun, adakah kita masih lagi tidak dapat menyediakan tenaga kerja yang mahir dan berkemahiran tinggi? Jika benar perkara ini berlaku maka dapat disimpulkan bahawa sistem pendidikan yang sedia ada hari ini adalah tidak menepati keperluan negara.
Tidak dinafikan semakin ramai tenaga kerja mahir dalam sesuatu bidang akan menekan pasaran buruh seterusnya mewujudkan satu garisan penawaran gaji yang dilihat kompetitif oleh pihak majikan. Akan tetapi apabila wujud unsur-unsur lain seperti peluang bidang pekerjaan yang sangat tidak seimbang, kemasukan tenaga kerja asing secara besar-besaran boleh menyebabkan tenaga kerja tempatan ini dinilai dengan lebih rendah.
Kecenderungan majikan yang mengambil kesempatan atas kekurangan ini juga tidak membantu lebih ramai rakyat Malaysia untuk sama-sama memacu ekonomi negara dengan pendapatan dimiliki mereka.
Sememangnya faktor keuntungan menjadi punca kepada mengapa sebahagian majikan tidak mahu menawarkan pendapatan yang sepadan kepada pekerja. Memaksimakan keuntungan tidak salah akan tetapi usaha ke arah penguntungan tersebut tidak boleh sehingga menzalimi pihak lain.
Islam sendiri tidak pernah mengehadkan nisbah keuntungan yang dingini oleh majikan mahupun peniaga. Akan tetapi keuntungan sehingga membawa kepada penindasan adalah dilarang sama sekali.
Kekurangan dan ketidakseimbangan dalam perolehan pendapatan isi rumah menjerat orang ramai ke arah pembentukkan masyarakat berhutang. Individu tidak lagi bekerja untuk mendapatkan pendapatan sebaliknya bekerja bagi melangsaikan hutang. Ini kerana pendapatan yang diterima hampir keseluruhannya digunakan bagi membayar kembali pinjaman dan kos penggunaan utiliti.
Faktor kurang kemahiran bukanlah satu-satunya penyebab mengapa ramai di kalangan rakyat tidak mampu memacu ekonomi negara akibat daripada pendapatan yang rendah. Meletakkan tanggungjawab kepada pihak pemerintah semata-mata untuk menyelesaikan permasalahan agihan pendapatan isi rumah yang tidak seimbang juga bukanlah satu tindakan yang tepat.
Sebagai majikan, kita juga bertanggungjawab untuk sama-sama mengurangkan ketaksamaan jurang pendapatan dengan bersikap lebih terbuka dan bersedia untuk menawarkan gaji dan upah yang sepadan dengan perkhidmatan yang diberikan oleh pekerja juga berdasarkan prestasi organisasi semasa.
Dalam Islam, meletakkan sesuatu pada tempatnya atau 'adil yakni dalam konteks menawarkan pendapatan yang setimpal adalah lawan kepada zalim yakni penindasan terhadap pekerja dari aspek penawaran gaji adalah dituntut.
- UTUSAN