Top Ad 728x90

Makanan untuk pesakit diabetes

Pilihan makanan menjadi antara halangan besar bagi pesakit kencing manis atau diabetes menjalani kehidupan normal seperti orang lain.

Banyak jenis makanan kegemaran yang terpaksa mereka ketepikan kerana memikirkan kandungan gula yang terdapat di dalam makanan itu.

Bagaimanapun dengan pelancaran buku resipi Persatuan Diabetes Malaysia (PDM) dengan kerjasama MAD, kini penghidap diabetes dapat menikmati makanan yang mereka sukai berpandukan kepada buku tersebut.

Mengandungi 12 resipi pencuci mulut Melayu, Cina, India dan Barat, resipi yang dicipta oleh Chef Amy Beh dan maklumat pemakanan yang disediakan oleh pakar nutrisi, Madhavi Rai itu amat sesuai bagi pesakit diabetes.

Pengarah Perubatan syarikat farmaseutikal MSD, Dr. Yeoh Boon Hock yang ditemui semasa majlis pelancaran buku resipi yang dinamakan Raikan - Buku Masakan Pencuci Mulut berkata, tiada sebab pesakit diabetes tidak boleh menikmati makanan mereka.

''Sudah bertahun-tahun kami bekerja rapat dengan PDM bagi mendidik orang ramai tentang senaman dan kepentingan pemakanan yang sihat.

"Ramai menyangka makanan yang berkhasiat itu tidak menyelerakan. Oleh itu, kami menerbitkan buku masakan yang mengandungi resipi yang bukan sahaja lazat tetapi berkhasiat dan sesuai seisi keluarga.

''Sangkaan bahawa pesakit diabetes tidak boleh menikmati makanan adalah salah kerana mereka hanya perlu memilih makanan dengan lebih berhati-hati,'' katanya.

Chef Amy pula berkata, sebagai chef, beliau mahu setiap orang menikmati makanan yang digemari mereka tanpa ada kerisauan.

"Saya sentiasa berusaha menyediakan resipi pencuci mulut yang mungkin masih manis namun sesuai untuk mereka yang perlu menjaga aras gula darah mereka," katanya.

Madhavi yang juga jurulatih kecergasan pula berkata, ramai yang menganggap bahawa gula dan pencuci mulut ialah musuh ketat.

''Mereka tidak sedar bahawa badan kita juga mampu mendapat gula daripada jenis-jenis makanan lain seperti roti, nasi dan buah-buahan.

"Oleh itu walaupun memakan buah-buahan itu bagus namun jika terlalu banyak boleh meninggikan aras gula darah,'' kata Madhavi.

Turut hadir pada majlis pelancaran buku tersebut ialah Penolong Setiausaha Agung PDM, K.S. Maniam.

Sempena pelancaran buku masakan tersebut, sebanyak 5,000 naskah boleh didapati secara percuma di semua pusat PDM, farmasi, klinik dan pusat diabetes seluruh Malaysia.

- UTUSAN

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90