Parlimen Malaysia lulus usul kecam Israel

Kuala Lumpur: Parlimen semalam sepakat meluluskan usul tergempar mengecam serangan kejam Israel ke atas wilayah Palestin, di Gaza.

Seramai 10 Ahli Parlimen mewakili Barisan Nasional (BN), pembangkang dan Bebas yang mengambil bahagian dalam perbahasan senada menyokong usul Datuk Seri Najib Razak yang dibentangkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz.
Persidangan juga menerima 10 ketetapan, termasuk menzahirkan sokongan padu warga Malaysia kepada perjuangan rakyat Palestin ke arah mewujudkan negara merdeka dan berdaulat.

Tindakan angkuh

Perdana Menteri berkata, tindakan Israel melancarkan operasi ‘Pillar of Defence' sejak 14 November lalu melalui pengeboman dari udara, laut dan darat secara besar-besaran di beratus kawasan Gaza adalah tindakan angkuh tanpa belas ihsan terhadap warga Palestin.

“Sebagai negara yang sekian lama lantang memperjuang rakyat Palestin, kita harus bersepakat menjelaskan kepada dunia mengenai pendirian Malaysia terhadap tindakan tidak berperikemanusiaan Rejim Zionis ke atas saudara kita di Palestin, terutama di Gaza yang ketika ini dizalimi," katanya.

Najib berkata, serangan Israel mencabuli undang-undang antarabangsa, hak asasi manusia, kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB dan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949 mengenai Perlindungan Orang-Orang Awam Dalam Masa Perang.

Tolak keganasan

Katanya, rakyat Malaysia berpegang teguh kepada pendirian bahawa tiada alasan bagi penggunaan kekerasan secara tidak seimbang, sembarangan dan melampau ke atas wilayah Palestin, sekali gus menolak hukuman kolektif terhadap rakyat Palestin di Gaza.

"Rakyat Malaysia sangat dukacita dan kesal dengan ketidakmampuan masyarakat antarabangsa, terutama Majlis Keselamatan PBB menghentikan serta merta keganasan Israel," katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan tidak berputus asa, sebaliknya akan berusaha dan bekerjasama dengan negara bersependapat untuk meminta Presiden Perhimpunan Agung PBB mengadakan sidang tergempar berlandaskan Resolusi 377 A (V) 1950 - `Uniting For Peace' jika Majlis Keselamatan PBB masih berdiam diri.

“Kementerian Luar akan memastikan Pejabat Perwakilan Tetap Malaysia ke PBB di New York terus mengetengahkan perjuangan rakyat Palestin untuk mencapai sebuah negara merdeka dan berdaulat.

“Usul ini ialah satu daripada cara Malaysia melaksanakan tanggungjawab sebagai negara prihatin terhadap warga Palestin di Gaza yang ditindas oleh rejim Zionis Israel,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url